KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Di sebalik lautan jersi merah dan biru yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, seorang penyokong Sabah FC mencuri tumpuan pada final Piala FA 2025-2026 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah FC, malam ini.
Yap Ken Vun, 37, hadir dengan busana tradisional Kadazandusun, pilihan yang bukan sekadar menyokong pasukan kesayangan, tetapi juga menzahirkan kebanggaan terhadap identiti dan warisan budaya Sabah.
Menurut Ken Vun, hasratnya mengenakan busana itu dirancang sejak awal sebagai simbol kepelbagaian kaum dan budaya di Sabah, serta untuk memperkenalkan warisan negeri itu kepada ribuan penyokong di stadium kebanggaan negara.
“Memang saya sudah buat perancangan sejak awal kerana mahu tampil berbeza. Mungkin semua penyokong final akan memakai jersi masing-masing, tetapi saya mahu buat kelainan,” katanya kepada Bernama.
Beliau menambah, “Saya mahu pakai pakaian tradisional untuk final ini bagi mempamerkan kebudayaan Sabah di Stadium Bukit Jalil.”
Lebih bermakna, Ken Vun hadir bersama 14 ahli keluarganya, menjadikan sokongan kepada Sabah FC malam ini satu detik kekeluargaan penuh nilai perpaduan.
Dalam nada penuh harapan, beliau yakin Sabah FC mampu mencipta kejutan ke atas juara bertahan JDT, sekali gus menamatkan penantian selama 27 tahun untuk menjuarai Piala FA.
Bagi penyokong JDT, Mohammed Haffizuddin Baharuddin, 33, tidak jemu menyokong pasukan kegemarannya. “Kami memang selalu datang untuk menyokong final kerana lima bas disediakan bagi membawa penyokong JDT ke perlawanan akhir hari ini,” katanya.
Tinjauan Bernama mendapati suasana di Stadium Nasional Bukit Jalil tetap meriah walaupun hujan lebat sejak 5.30 petang tadi, dengan penyokong JDT lengkap dengan alatan muzik sambil menyanyikan sorakan dan lagu sokongan bagi membakar semangat pasukan Harimau Selatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial