Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
BANGKOK, 14 Dis (Bernama) -- Kontinjen Malaysia menikmati hari cemerlang pada Sukan SEA Thailand 2025 apabila mencatat beberapa kejayaan manis merentasi pelbagai acara, termasuk menamatkan kemarau kejuaraan regu berpasukan lelaki sepak takraw yang berlarutan selama 34 tahun, hari ini.
Kemarau panjang itu berakhir apabila skuad sepak takraw negara bimbingan Ahmad Jais Baharom menewaskan musuh tradisi Thailand 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Gimnasium Nakhon Pathom, Chonburi.
Kejayaan bersejarah itu menamatkan penantian sejak kali terakhir Malaysia menjulang gelaran berkenaan pada Sukan SEA 1991 di Manila, sekali gus memadam dominasi Thailand yang menjadi penghalang utama negara sepanjang lebih tiga dekad.
Regu pertama negara dibarisi Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Amirul Zazwan Amir, diikuti regu kedua yang terdiri daripada Mohammad Syahir Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam, manakala regu ketiga disertai Muhammad Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi.
Pada masa sama, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah turut mencipta kegembiraan apabila menamatkan kemarau pingat emas Malaysia selama 10 tahun selepas mengatasi gandingan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari dalam pertarungan sengit selama 86 minit di Pathum Thani.
Dalam saingan pencak silat, pesilat negara Nur Syafiqah Hamzah mencipta detik gemilang apabila meraih emas sulung skuad silat di pentas Sukan SEA selepas menjuarai acara tunggal puteri.
Nur Syafiqah dinobatkan juara dengan kutipan 9.960 mata pada perlawanan akhir yang berlansgung di Impact Arena, Muang Thong Thani.
Kejayaan kontinjen negara turut disumbangkan atlet menembak berpengalaman negara Johnathan Wong yang mempertahankan pingat emas acara 10 meter (m) air pistol lelaki.
Pada saingan final di Lapangan Sasar Menembak Sports Authority of Thailand di sini, atlet Olimpik itu mengumpul keseluruhan 237.8 mata, sekali gus mengulangi kejayaannya pada edisi 2021 di Vietnam.
Bagaimanapun, cabaran Malaysia dalam badminton menyaksikan beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik terlepas peluang meraih emas kedua apabila tewas kepada pasangan Indonesia Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani pada final.
Juara dunia 2022 itu bergelut mendapatkan rentak permainan sebelum tewas 14-21, 17-21 dalam masa 44 minit sekali gus menyaksikan badminton gagal mencapai sasaran empat emas yang ditetapkan.
Kontinjen negara akan meneruskan misi memburu 200 pingat tanpa mengira warna, dengan tumpuan esok antara lain terarah kepada acara olahraga melibatkan jaguh lompat jauh lelaki Andre Anura dan Wan Muhammad Fazri Wan Zahari yang mencatat masa terpantas pada aksi saringan 800m lelaki.
Selain itu, sukan wushu, pencak silat, tenpin boling, menembak, snuker, renang, berbasikal dan memanah turut dilihat berpotensi menyumbang pingat. sekali gus mampu memperkukuh kedudukan Malaysia dalam carta pingat berbaki enam hari sebelum temasya sukan dwitahunan itu melabuhkan tirai.
Thailand kekal di persada carta pingat selepas mengumpul keseluruhan 131 emas, 78 perak dan 46 gangsa, diikuti Indonesia (39,56,51), Vietnam (34,33,64) manakala Malaysia di tempat kelima dengan pungutan 20 emas, 23 perak dan 69 gangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial