SUKAN > BERITA

PIALA FA: JDT BENAM SABAH 5-0, KEJUARAAN KEEMPAT BERTURUT-TURUT

15/12/2025 12:39 AM

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan dominasi mereka dalam saingan Piala FA 2025-2026 apabila muncul juara buat kali keempat berturut-turut selepas menundukkan Sabah FC 5-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Kemenangan ini turut menjadikan trofi Piala FA kelima buat JDT sejak pasukan itu dijenamakan semula pada 2013.

JDT memulakan aksi dengan garang apabila membuka jaringan seawal minit kelapan menerusi tandukan Jonathan Silva hasil sepakan percuma Oscar Aribas. 

Malang bagi Sabah, gawang mereka sekali lagi dibolosi pada minit ke-20 apabila pertahanan mereka, Rawilson Batuil, tertampan bola ke gawang sendiri sebelum Jairo Da Silva menambah derita Sang Badak tiga minit kemudian.

Skuad Sabah FC hampir merapatkan jurang pada minit ke-26 menerusi penyudah Ajdic Mujagic, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan beliau berada pada kedudukan ofsaid, sekali gus menyaksikan JDT menutup babak pertama dengan kelebihan 3-0.

Babak kedua menyaksikan nasib Sabah FC bertambah malang apabila tonggak tengah mereka, Miguel Cifuentes, dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain JDT.

Kelebihan pemain digunakan sebaiknya oleh JDT apabila Aribas menambah gol keempat pada minit ke-64.

Manuel Hidalgo kemudian melengkapkan malam gemilang JDT apabila menjaringkan gol pada masa kecederaan, sekali gus menamatkan final dengan kemenangan 5-0.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan