SUKAN > BERITA

CHEE KENG AKHIRI PENANTIAN 32 TAHUN ACARA TRAP SUKAN SEA

16/12/2025 09:09 PM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

BANGKOK, 16 Dis (Bernama) -- Penembak berpengalaman negara Ong Chee Keng mencipta sejarah apabila menamatkan kemarau 32 tahun Malaysia untuk meraih pingat emas dalam acara trap individu lelaki pada Sukan SEA Thailand 2025 di Lapang Sasar Menembak Photharam, Ratchaburi, hari ini.

Atlet kelahiran Sarawak berusia 44 tahun itu membidik 39 mata dalam final enam peserta, sekali gus membawa pulang emas pertama negara dalam acara itu sejak Heng Chai Yee mencatat kejayaan sama pada edisi 1993 di Singapura.

Sementara itu, Hagen Alexander Topacio dari Filipina meraih pingat perak dengan 38 mata, manakala wakil Indonesia, Andreas Yunus Boki, membawa pulang gangsa selepas mencatat 30 mata.

Sebelum itu, Chee Keng menguasai pusingan kelayakan dengan mengumpul 113 mata, sekali gus melayakkan diri ke peringkat final dengan penuh keyakinan.

Kejayaan bersejarah ini menandakan pencapaian penting dalam kerjaya Chee Keng, mengatasi pencapaian pingat gangsa yang diraihnya pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan