SUKAN > BERITA

SUKAN SEA 2025: SKUASY TUAI DUA EMAS

17/12/2025 08:15 PM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

BANGKOK, 17 Dis (Bernama) -- Pasukan skuasy negara menepati ramalan apabila meraih dua pingat emas menerusi acara jumbo beregu lelaki dan campuran Sukan SEA Thailand 2025, berlangsung di Kolej Vajiravudh di sini hari ini.

Emas pertama hadir menerusi gandingan Harith Danial Jefri-Sehveettrraa Kumar yang mengecewakan beregu campuran Filipina Jonathan Reyes-Aerra JC Mae Relano 11-5, 11-2.

Harith Danial menambah emas keduanya apabila bergandingan dengan Low Wa Sern mengatasi Reyes-Christopher Buraga 11-4, 8-11, 11-5, menerusi acara jumbo beregu lelaki.

Acara jumbo beregu mengekalkan format acara beregu lain, namun dimainkan di gelanggang lebih luas dan panjang yang menguji daya tahan pemain.

Ini merupakan kali pertama Malaysia menghantar wakil acara jumbo beregu, termasuk jumbo beregu campuran, memandangkan skuasy hanya menawarkan empat pingat emas selain acara perseorangan lelaki dan wanita pada edisi kali ini.

Skuasy tidak dipertandingkan pada dua edisi sebelum ini, iaitu 2021 di Vietnam dan 2023 di Kemboja.

Kali terakhir acara itu dipertandingkan pada edisi 2019 di Filipina, menyaksikan Malaysia mendominasi dengan meraih empat emas, satu perak dan satu gangsa.

Malaysia masih memiliki wakil dalam acara perseorangan wanita dan lelaki yang memasuki pusingan suku akhir hari ini dengan atlet negara antaranya Noor Ainaa Amani Ampadi, Yee Xin Ying, Sanjay Jeeva dan Duncan Lee dijangka tidak berdepan masalah mengesahkan tempat ke separuh akhir, esok.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan