SUKAN > BERITA

SUKAN SEA: DR MOHAMMED TAUFIQ BANGGA KONTINJEN MALAYSIA KUTIP LEBIH 50 EMAS

19/12/2025 04:32 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 19 Dis (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari bangga dengan prestasi kontinjen Malaysia yang kini sudah mengutip lebih 50 pingat emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand hari ini.

Dr Mohammed Taufiq berharap agar atlet negara yang masih berjuang dapat melakukan pencapaian lebih hebat sebelum edisi ke-33 temasya sukan dwitahunan itu melabuhkan tirainya di Stadium Nasional Rajamangala di sini esok.

“Saya mahu ucapkan syabas dan tahniah kepada semua wira-wirawati, atlet kita yang bertungkus-lumus, kepada semua sekretariat dan juga team Malaysia yang telah pun membanggakan, mengharumkan nama negara kita. 

“Sebagai seorang menteri, ini tugas pertama saya untuk menyaksikan Sukan SEA dan insya-Allah kami memandang ke hadapan untuk membuat persiapan yang hebat bagi Sukan SEA akan datang (di Malaysia 2027),” katanya selepas menyaksikan aksi skuasy di Kolej Vajiravudh di sini.

Setakat 2 petang hari ini, kontinjen Malaysia mengutip 51 emas, 51 perak dan 110 gangsa.

Kutipan itu membolehkan Malaysia kini mengumpul 212 pingat secara keseluruhan, sekali gus melepasi sasaran 200 pingat ditetapkan sebelum ini.

Temasya Sukan SEA 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini melibatkan dua wilayah, iaitu Bangkok dan Chonburi.

Pelantikan Dr Mohammed Taufiq diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa lepas sebagai sebahagian daripada rombakan Kabinet Kerajaan MADANI bagi mengisi beberapa kekosongan jawatan. 

Ahli Parlimen Sungai Petani itu menggantikan Hannah Yeoh yang menggalas peranan baharu sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan