SUKAN > BERITA

TFC MAHU RAIH TIGA MATA DI SSMZA, BERI HADIAH PERPISAHAN KEPADA NURILLO

22/12/2025 12:43 PM

KUALA NERUS, 22 Dis (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) mahu meraih tiga mata penuh menentang Sabah FC di sini malam esok sebagai hadiah perpisahan kepada pemain import tengah Nurillo Tukhtasinov yang akan pulang ke Uzbekistan akhir bulan ini.

Ketua jurulatih TFC Badrul Afzan Razali berkata kemenangan ke atas Imigresen FC (IFC) di Batu Kawan, Jumaat lepas juga memberi suntikan semangat untuk anak buahnya terus mencipta kemenangan, sekali gus mengukuhkan kedudukan di kelompok lima teratas liga.

"Saya mahu pemain meneruskan momentum kemenangan yang kita cipta di Pulau Pinang. Kekalkan konsistensi dan fokus pada misi mengutip tiga mata bagi menjarakkan kedudukan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Nurillo, 28, memutuskan untuk tidak menyambung kontraknya yang tamat 31 Dis ini dan pengurusan TFC dalam kenyataan semalam memaklumkan pemain yang telah beraksi hampir tiga musim bersama skuad Penyu itu bakal meneruskan karier bersama sebuah kelab di negara kelahirannya.

Sementara itu, Badrul Afzan turut lega kerana beberapa tonggak utama yang dibelenggu masalah kecederaan sudah semakin pulih dan berkemungkinan dapat beraksi menentang skuad bimbingan Jean-Paul de Marigny pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).

Pengendali berusia 49 itu berkata khidmat pemain berpengalaman seperti Muhammad Azam Azmi Murad dan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili amat diperlukan bagi mengukuhkan kubu pertahanan.

"Kami sedar Sabah adalah sebuah pasukan yang kuat dan mereka telah membuktikannya dengan menjadi finalis Piala FA musim ini.

"Walaupun mereka (Sabah FC) tewas di tangan pasukan Brunei DPMM FC baru-baru ini, kita tetap tidak boleh mengambil mudah dan perlu fokus serta berdisiplin untuk mencuri mata," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan