SEPANG, 5 Jan (Bernama) -- Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) memohon dana RM6 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi penganjuran kejohanan dan pembangunan e-sukan tahun ini.
Presiden MESF Muhammad Naim Al-Amin Saharuddin berkata e-sukan meraih pencapaian membanggakan tahun lepas termasuk menjuarai Kejohanan Dunia Persekutuan e-Sukan Antarabangsa (IESF) dalam permainan Mobile Legends Bang-Bang (MLBB) dan pingat emas Sukan SEA MLBB kategori wanita.
Beliau berkata dana berkenaan dilihat penting memandangkan kalendar tahun ini padat dengan pelbagai kejohanan antarabangsa antaranya Kejohanan Dunia IESF Nations Cup dan Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun.
“Saya rasa jumlah itu cukup untuk kita membangunkan liga bagi pelbagai judul e-sukan. Sebab atlet-atlet e-sukan ini lahir daripada platform pihak ketiga atau pembangunan akar umbi.
“Jadi, mereka ini perlu digilap dengan mendedahkan mereka dengan banyak pertandingan supaya kita dapat lahirkan lebih ramai atlet e-sukan berkualiti,” katanya ketika ditemui selepas melepaskan pasukan MLBB ke Kejohanan Dunia (M7) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Naim Al Amin turut mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan Selangor Red Giants (SRG) dan CG Esports yang bertanding di M7.
Beliau berkata kedua-dua pasukan itu diharap mampu mempamerkan aksi yang terbaik sekali gus membanggakan nama Malaysia di kejohanan berkenaan.
M7 berlangsung dari 3 hingga 25 Jan bermula dengan format wild card dengan dua pasukan Malaysia, iaitu CG Esports dan SRG.OG hanya akan mula bermain dalam aksi kumpulan pada 10 hingga 17 Jan ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial