KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Ketiadaan Kemboja dijangka memberi kesan terhadap sasaran pungutan pingat kontinjen negara pada temasya Para ASEAN 2025 yang akan berlangsung di Korat, Thailand bermula 20 hingga 26 Jan ini.
Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) Mohd Zarrawi Ravi Abdullah berkata ketiadaan Kemboja pada temasya itu menyebabkan beberapa kelas kecacatan terpaksa digabungkan dalam satu acara bagi mengimbangi kekurangan peserta.
“Kalau melihat kepada jadual yang kami terima, memang Kemboja tidak ambil bahagian. Kerisauan saya adalah kemungkinan terdapat penggabungan sekali gus memberi kesan kepada atlet yang terbabit.
“Lagi satu saya ambil contoh sukan blind football, sepatutnya ada empat pasukan jadi sekarang tinggal tiga. Jadi pingat hanya akan diberikan kepada juara dan naib juara,” katanya ketika ditemui selepas sesi lawatan CDM ke pusat latihan olahraga di Majlis Sukan Malaysia, di sini hari ini
Bagaimanapun, Mohd Zarrawi Ravi berkata kontinjen Malaysia sudah bersedia untuk berhadapan dengan situasi tersebut dengan melakukan persiapan yang terbaik.
Beliau juga berharap atlet yang membawa cabaran negara di temasya tersebut memberikan aksi yang cemerlang bagi mengharumkan nama Malaysia.
Sementara itu, atlet 400 meter negara Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi bertekad untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi lepas.
“Selain mahu membawa pulang pingat emas, saya turut meletakkan sasaran untuk memecahkan rekod peribadi 47.4 saat.
“Ketika ini fokus saya adalah kepada diri sendiri dan tidak mahu fikir siapa lawan saya di sana. saya cuma mahu mengharumkan nama negara dan keluarga,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial