SUKAN > BERITA

LATIHAN ASAS KUKUH KUNCI MENGHARUNGI JADUAL PADAT - YU QI

09/01/2026 03:55 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Pemain nombor satu dunia Shi Yu Qi dari China menegaskan tanpa latihan asas yang kukuh, menghadapi perlawanan secara berturut-turut dan berterusan, cabaran dalam kalendar Jelajah Dunia BWF akan menjadi sangat sukar.

Pemain berusia 29 tahun itu berkata demikian ketika ditanya sama ada tuntutan fizikal terhadap pemain semakin meningkat, sambil menyatakan perkara itu juga bergantung kepada gaya permainan dan kaedah pemulihan individu.

“Setiap pemain mempunyai cara masing-masing untuk mengendalikannya (kalendar BWF). Kita semua mempunyai pasukan sokongan yang sangat kuat, sama ada untuk terapi fizikal atau sokongan psikologi.

“Ia mengenai mencari kaedah yang paling sesuai untuk diri anda bagi menyesuaikan diri dengan jadual seperti ini, kerana cabarannya adalah sama untuk semua orang,” katanya selepas mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena hari ini.

Terdahulu pada aksi suku akhir, Yu Qi hanya memerlukan masa 31 minit untuk menyingkirkan pemain Hong Kong Lee Cheuk Yiu, 21-10, 21-7, sekali gus mencatatkan kemenangan kesembilannya dalam 14 pertemuan menentang pemain yang berada di ranking ke-18 dunia itu.

Yu Qi berkata walaupun mudah menewaskan pemain Hong Kong itu, setiap permainan rali tetap sukar kerana beliau perlu bersabar dan menunggu lawannya melakukan kesilapan.

Ketika ditanya mengenai tekanan mempertahankan gelaran juara pada kejohanan Super 1000 itu, Yu Qi berkata beliau tidak merasakannya kerana setiap lawan adalah berbeza.

“Saya sebenarnya tidak merasakan tekanan seperti itu. Walaupun saya memenangi gelaran Terbuka Malaysia tahun lepas, lawan-lawannya berbeza.

“Semua orang telah mencapai kemajuan yang besar tahun lepas dan tahun ini, jadi saya hanya menumpukan kepada kerja keras untuk bersaing dengan mereka. Saya tidak menganggapnya sebagai ‘mempertahankan’ gelaran, ia lebih kepada ‘berjuang’ untuknya sekali lagi bagi melihat sama ada saya boleh memenanginya,” tambahnya.

Tahun lepas, Yu Qi meraih enam gelaran termasuk Terbuka Malaysia, Terbuka All England, Piala Sudirman, Terbuka Jepun, Terbuka China dan Kejohanan Dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan