SUKAN > BERITA

TFC REKRUT DUA PEMAIN IMPORT BAHARU HADAPI BAKI SAINGAN LIGA MALAYSIA

11/01/2026 07:51 PM

KUALA TERENGGANU, 11 Jan (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) mendapatkan khidmat dua pemain import baharu bagi mengharungi baki saingan Liga Super dan cabaran Piala Malaysia musim 2025/2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai berkata Mabatshoev Shervoni, 26, akan beraksi di posisi sayap dan Ehsoni Panshanbe, 27, di bahagian tengah.

Beliau berkata kedua-dua pemain Tajikistan itu telah menandatangani kontrak selama setahun dengan skuad Penyu yang berpangkalan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Kuala Nerus.

“Shervoni yang meledakkan 13 gol daripada 39 penampilan bersama Regar TadAZ FC akan menyarung jersi 88 manakala penyertaan Panshanbe menggantikan Nurillo Tukhtasinov yang pulang ke Uzbekistan.

“TFC amat berbangga dapat mengikat dua pemain berbakat yang juga tonggak kebangsaan Tajikistan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2025/2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sheikh Farouk berkata kehadiran dua pemain itu diharap dapat memperkukuh dan memperbaiki reputasi pasukan yang semakin merosot sejak akhir-akhir ini.

Beliau berkata pengalaman luas yang dimiliki oleh kedua-dua pemain itu di peringkat antarabangsa juga diharap dapat membantu pasukan mencapai sasaran yang ditetapkan musim ini, iaitu menduduki kelompok empat teratas Liga Super.

TFC ketika ini berada di tangga kelima Liga Super di belakang Selangor FC selepas mengumpul 21 mata daripada 14 perlawanan.

Pada bulan lepas, TFC merehatkan bekas Ketua Jurulatih Badrul Afzan Razali susulan prestasi tidak konsisten skuad Penyu dalam saingan Piala FA dan Liga Super.

Selain itu, pemain sayap import Brazil Gabriel Silva turut ditamatkan kontrak lebih awal berikutan persembahan kurang memberangsangkan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan