SUKAN > BERITA

KELANTAN TRW RAIH TONIK TERBAIK MENJELANG AKSI MENENTANG SELANGOR FC

14/01/2026 11:31 AM

KOTA BHARU, 14 Jan  (Bernama) -- Kemenangan ke atas Sabah FC pada aksi Liga Super malam tadi merupakan tonik terbaik buat Kelatan The Real Warriors (TRW) FC untuk mengharungi saingan Piala Malaysia menentang Selangor FC, 19 Jan ini.

Penolong Ketua Jurulatih Kelantan TRW Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata pada perlawanan malam tadi, para pemain tetap mempamerkan aksi terbaik mereka meskipun menyedari pasukan kini berada di kedudukan kurang  memuaskan.

"Kemenangan ini akan beri suntikan moral kepada kami kerana sebelum ini kami berada di titik terbawah apabila tewas enam perlawanan berturut-turut dalam aksi Liga Super mahupun Piala FA.

"Saya harap momentum kemenangan ini dijadikan pemangkin semangat untuk menetang Selangor FC pada aksi Piala Malaysia nanti," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi.

Ketika ini, Kelantan TRW berada di kedudukan ke-11 liga dengan mengumpul 14 mata selepas empat kemenangan, dua seri dan sembilan kekalahan.

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih Sabah FC Alto Linus pula berkata ketiadaan beberapa tonggak utama pasukan akibat kecederaan dan penggantungan telah memberi kesan terutamanya ketika beraksi di tempat lawan.

"Segala yang dirancang tidak berjalan seperti perancangan awal, malah pemain tidak mengikut arahan dimahukan hingga melepaskan tiga gol kepada pasukan tuan rumah," katanya.

Beliau berkata tiga gol awal yang diperolehi Kelantan TRW pada separuh masa pertama telah membunuh momentum pasukan.

"Mereka (Kelantan TRW) bijak  mengambil kesempatan hasil kesilapan pemain saya untuk menjaringkan tiga gol, jadi bagi saya kesilapan ini perlu diperbaiki kerana beberapa perkara yang diarahkan kepada pemain tidak dilaksanakan dengan baik," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan