NAKHON RATCHASIMA, 20 Jan (Bernama) -- Penarikan diri Kemboja daripada Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025 tidak menjejaskan sasaran kontinjen negara dengan Malaysia kekal memburu 181 pingat sepanjang penyertaan dalam temasya dwitahunan itu, menurut Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin.
Beliau berkata penilaian sasaran kontinjen dibuat selepas proses tertentu dengan kebanyakan sukan turut memuktamadkan perancangan melalui mesyuarat pengurus pasukan masing-masing.
“Proses DRM (mesyuarat pendaftaran delegasi) dah selesai, kebanyakan sukan juga telah pun menjalankan proses mesyuarat pengurus pasukan mereka. Setakat ini kita dimaklumkan oleh pihak MPM (Majlis Paralimpik Malaysia) dan urus setia sekretariat bahawa sasaran kita tidak terjejas dengan penarikan diri Kemboja.
“Kita masih lagi kekal untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Pihak CDM (ketua kontinjen negara) pun telah umumkan 181 pingat akan cuba kita dapatkan atau capai di sepanjang penyertaan di APG ini,” katanya.
Beliau ditemui selepas lawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol ke Terminal 21 Korat di sini hari ini bagi menyuntik semangat atlet powerlifting serta skuad bola keranjang kerusi roda negara.
Mengenai lawatan berkenaan, Jefri merakamkan penghargaan atas kehadiran Mordi yang disifatkan mampu memberi suntikan moral kepada atlet negara menjelang saingan bermula.
Dalam perkembangan lain, Jefri berkata persiapan awal ke arah Sukan SEA Malaysia 2027 dan APG Malaysia 2027 telah mula dirancang secara menyeluruh menerusi kerjasama pelbagai agensi berkaitan.
“Persiapan untuk 2027 telah dijalankan bersama pihak MPM serta MSN, ISN (Institut Sukan Negara) dan persatuan sukan bersama jurulatih-jurulatih telah mengadakan bengkel pada Disember lepas bagi sukan para,” katanya.
Beliau berkata persiapan untuk atlet para akan dimulakan secara rasmi pada April manakala atlet normal akan memulakan program persediaan lebih awal bermula 11 Feb ini.
Mengulas perbezaan tarikh permulaan persiapan antara atlet para dan normal, Jefri berkata ia mengambil kira keperluan rehat serta proses penilaian semula atlet para selepas temasya dwitahunan itu yang hanya akan berakhir Isnin ini.
Sementara itu, Mordi berkata lawatan beliau ke Nakhon Ratchasima adalah bagi mewakili Kementerian Belia dan Sukan untuk menghadiri upacara pembukaan APG Thailand 2025 selain memberi sokongan moral kepada kontinjen negara.
“Kita menghantar 353 atlet yang akan bertanding dalam 18 jenis sukan dan esok dijangka kita mampu merangkul pingat emas dalam acara olahraga dan renang. Jadi besar harapan kita kepada atlet-atlet hari ini untuk mencapai kejayaan di APG,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial