Daripada Farah Najihah Zuraimi
NAKHON RATCHASIMA, 19 Jan (Bernama) -- Skuad bola sepak cerebral palsy lelaki negara tewas 0-3 kepada Indonesia pada aksi pembukaan kempen Sukan Para ASEAN (APG) 2025 di Stadium Nakhon Ratchasima Universiti Rajabhat hari ini.
Jurulatih pasukan Asnan Md Zuki berkata Malaysia yang turun dengan gelaran juara bertahan memilih pendekatan bertahan bagi mengehadkan jurang keupayaan menentang pasukan yang lebih kuat namun menghadapi kesukaran ketika beralih daripada taktikal bertahan kepada menyerang.
“Indonesia memang pasukan yang kuat dan kami sudah menjangkakan cabaran ini. Berdasarkan pengalaman berdepan mereka sebelum ini termasuk di peringkat kelayakan Piala Dunia, mereka memiliki kelebihan dari segi kualiti dan pendedahan.
“Taktikal bertahan sebenarnya menjadi, terutama pada separuh masa pertama walaupun kami ketinggalan 0-1. Pada saya, keputusan itu masih membanggakan. Namun apabila masuk separuh masa kedua, kami berdepan kesukaran untuk menyerang dengan lebih berkesan,” katanya kepada Bernama.
Gol Indonesia dijaringkan oleh Yahya Hernanda pada minit keempat dan ke-53 serta Rizki Milyana pada minit ke-62.
Asnan berkata keputusan untuk tidak melakukan perubahan taktikal besar pada babak kedua menyaksikan Malaysia dibolosi dua lagi gol, namun ia dibuat berdasarkan perancangan keseluruhan pada temasya itu.
Beliau berkata perubahan taktikal akan dilakukan pada perlawanan seterusnya kerana pasukan perlu menang dalam baki perlawanan bagi memburu kedudukan dua teratas dan mara ke final.
Malaysia dijadualkan bertemu Myanmar pada 22 Jan diikuti Thailand (23 Jan) dan Filipina (24 Jan) dengan penentuan pingat emas, perak dan gangsa berlangsung pada Ahad ini (25 Jan).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial