SUKAN > BERITA

APG 2025: MOHAMAD YUSOF "BERKAMPUNG" UNTUK EMAS PERTAMA MALAYSIA

21/01/2026 03:29 PM

Daripada Farah Najihah Binti Zuraimi

NAKHON RATCHASIMA (Thailand), 21 Jan (Bernama) -- Pengorbanan Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin meninggalkan keluarga selama dua bulan untuk berkampung di Suphan Buri, Thailand berbaloi apabila membawa pulang emas pertama Malaysia dalam ujian masa berbasikal lebuh raya individu lelaki C1–C2 pada Sukan Para ASEAN (APG) 2025 di Universiti Teknologi Suranaree, hari ini.

Atlet berusia 28 tahun yang menyertai temasya dwitahunan itu buat kali kedua selepas edisi 2017 juga meluahkan rasa syukur kerana sekali lagi berpeluang menjuarai acara sama.

“Saya tidak jangka memperoleh emas kerana cuma meletakkan harapan untuk mendapat pingat. Saya lakukan yang terbaik kerana mahu mengharumkan nama negara dan menghadiahkan emas untuk Malaysia.

“Alhamdulillah, syukur dengan kemenangan hari ini, terutamanya kerana dapat menghadiahkan emas kepada ibu bapa selepas dua bulan meninggalkan keluarga untuk latihan menghadapi APG,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Keputusan rasmi menunjukkan anak bongsu daripada dua adik-beradik itu menamatkan perlumbaan dengan catatan 32:39.887 saat (s) meninggalkan pesaing dari Indonesia Tifan Abid Alana (35:39.593s) dan peserta tuan rumah Rimtamad Teerayut (36:29.642s).

Mohamad Yusof berkata yang akan beraksi dalam tiga lagi acara bertekad untuk terus mengharumkan nama negara.

Sementara itu, pelumba negara Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais membawa pulang pingat perak dalam acara perlumbaan basikal individu ujian masa wanita B dengan catatan masa 35:38.00s. 

Pingat emas dimenangi Jannah Vanza Mifthahul dari Indonesia dengan catatan masa 34:55.616s manakala Watcharobon (Thailand) merekodkan 35:57.202s untuk meraih gangsa. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan