ISKANDAR PUTERI, 24 Jan (Bernama) -- Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Xisco Munoz mengakui prestasi pasukannya yang menang tipis 1-0 ke atas PDRM FC dalam aksi timbal balik pusingan 16 saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam ini bukan yang terbaik.
Skuad Harimau Selatan menempah slot ke suku akhir dengan agregat 11-1 dan akan berdepan Melaka FC pada pertembungan awal bulan depan.
Munoz berkata walaupun JDT memiliki banyak peluang jaringan, tahap persembahan pasukan menyukarkan mereka untuk menguasai permainan sepenuhnya serta menjaringkan gol secara konsisten.
“Saya rasa ini bukan malam terbaik kami. Kami masih boleh memperbaiki banyak perkara, sama ada dari aspek serangan mahupun pertahanan.
“Malam ini kami melihat banyak perkara penting dan salah satu tugas utama kami adalah belajar daripada kesilapan, khususnya dari segi sikap, karakter dan tingkah laku,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.
Mengenai persiapan menghadapi perlawanan suku akhir, Munoz menegaskan pasukannya perlu kekal fokus walaupun menang besar ke atas PDRM FC.
Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih PDRM FC Eddy Gapil memuji disiplin pertahanan pasukannya apabila hanya membenarkan JDT menjaringkan satu gol dalam aksi timbal balik itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial