Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Krisis yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika ini mendedahkan satu hakikat yang lebih besar, iaitu keperluan mendesak untuk mereformasi tatakelola badan induk itu mengikut standard moden dan profesional.
Lebih penting, reformasi ini mesti menjadi asas utama kepada tugas dan fokus Ahli Jawatankuasa Eksekutif (exco) baharu FAM yang akan dipilih.
Seiring perkembangan pesat bola sepak global yang semakin profesional, telus dan kompetitif, keperluan untuk membaharui tatakelola FAM mengikut piawaian moden bukan sahaja wajar, malah tidak boleh ditangguhkan lagi.
Sesebuah persatuan hari ini tidak boleh berfungsi secara tertutup, terlalu bergantung kepada hierarki lama atau beroperasi tanpa penanda aras jelas, sebaliknya ia mesti berteraskan empat prinsip utama tatakelola moden iaitu ketelusan, akauntabiliti, profesionalisme dan integriti.
Tanpa keempat-empat prinsip itu, sebarang pelan pembangunan akan menjadi rapuh dan tidak berdaya tahan, justeru tugas exco baharu bukan sekadar melaungkan slogan perubahan tetapi memastikan prinsip tersebut dilaksanakan secara konsisten.
Antara fokus utama exco baharu adalah memastikan FAM menjadi lebih terbuka dalam pengurusan kewangan, perancangan strategik dan proses membuat keputusan.
Rasional di sebalik setiap keputusan penting perlu dijelaskan secara terperinci dan konsisten supaya penyokong, kelab, persatuan negeri dan penaja berasa terlibat, bukannya dipinggirkan.
Dalam bola sepak moden, penyokong bukan sekadar penonton, tetapi sebahagian daripada ekosistem yang menyumbang kepada kelangsungan industri ini.
Akauntabiliti dan semak imbang kuasa juga perlu berada di hadapan senarai keutamaan exco yang bakal dilantik.
Ini bermakna memperkukuh jawatankuasa bebas seperti audit, tadbir urus dan integriti; menempatkan profesional berkelayakan untuk memantau dan menilai prestasi kepimpinan; serta memastikan semua keputusan penting melalui saluran pengawasan yang kukuh.
Pada masa sama, exco baharu FAM perlu menjadikan integriti sebagai keutamaan dan memikul tanggungjawab memastikan tindakan tegas diambil terhadap sebarang konflik kepentingan serta salah laku yang merosakkan kredibiliti sukan.
Keputusan dalam bola sepak mesti dibuat atas dasar kepentingan sukan dan pembangunan negara, bukan untuk memenuhi agenda peribadi atau kelompok tertentu.
Di samping itu, exco baharu perlu mendukung pendekatan inklusif dalam pembentukan dasar dengan melibatkan kelab, persatuan negeri, pemain, jurulatih dan penyokong bagi memastikan FAM tidak terpisah daripada realiti di padang dan di peringkat akar umbi.
Akhirnya, exco baharu perlu mengetuai usaha merangka dan melaksanakan pelan strategik jangka panjang yang kukuh dan konsisten tanpa bergantung pada siapa yang memegang tampuk kepimpinan pada masa tertentu.
Peta hala tuju pembangunan untuk 10 sehingga 15 tahun yang disokong dengan penanda aras jelas dan tertumpu kepada pembangunan akar umbi, liga profesional dan pasukan kebangsaan perlu dijadikan panduan.
Krisis yang berlaku hari ini wajar dilihat sebagai peluang untuk pembaharuan menyeluruh bukan sekadar penyusunan semula kosmetik.
Sekiranya exco baharu FAM berhasrat mengembalikan keyakinan rakyat dan memulihkan martabat bola sepak negara yang tercalar akibat isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan, perubahan mesti bermula daripada penstrukturan semula sistem, proses dan budaya kerja organisasi.
Dalam dunia bola sepak moden, tatakelola yang baik bukan lagi pilihan, ia ialah prasyarat kepada kejayaan.
Rabu lepas, kesemua Exco FAM bagi penggal 2025-2029 meletak jawatan secara kolektif dan sukarela berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah berprinsip dan berhemah susulan situasi semasa, bagi melindungi integriti FAM serta mengutamakan tanggungjawab organisasi tanpa kepentingan peribadi.
Susulan itu, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) akan membantu FAM melaksanakan penilaian dalaman berasaskan penanda aras persatuan bola sepak moden bertaraf antarabangsa sebelum laporan itu dibentangkan kepada pihak berkepentingan, terutama Kongres FAM.
Nasib FAM serta tujuh pemain warisan negara berhubung hukuman FIFA kerana didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA akan ditentukan selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membuat keputusan pada penghujung Februari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial