SUKAN > BERITA

SASARAN JELAS UNTUK SPEEDY TIGERS: LAYAK KE PIALA DUNIA - SARJIT

16/02/2026 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Tanpa sebarang hala tuju lain, pasukan hoki lelaki negara telah diberikan mandat jelas iaitu mesti layak ke pusingan akhir Piala Dunia pada pusingan kelayakan di Ismailia, Mesir, dari 1 hingga 8 Mac ini.

Ketua jurulatih Sarjit Singh berkata pasukan itu mesti mara ke final kejohanan untuk memastikan kelayakan automatik ke Piala Dunia.

“Kita patut berada di final kerana kita mempunyai pemain (yang bagus) dan mereka telah bekerja keras. Mara ke perlawanan akhir kelayakan akan memastikan tempat kita di Piala Dunia.

“Apabila anda bermain untuk tempat ketiga dan keempat, ia akan menjadi satu lagi tekanan. Kami juga berada dalam keadaan yang kurang menguntungkan memandangkan perlawanan di tempat lain, termasuk satu lagi kelayakan di Chile, akan diadakan pada 8 Mac," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengenai perkembangan dan persiapan skuad, Sarjit berkata pasukan itu telah menunjukkan peningkatan berterusan terutamanya dari segi kecergasan.

Bagaimanapun, katanya penambahbaikan masih diperlukan terutama dalam pertahanan dan penyudah.

“Kita perlu membaiki pertahanan. Pertahanan kini lebih kuat dan telah banyak meningkat sejak dua tahun lepas.

“Kita  juga perlu mengambil peluang. Apabila dapat peluang, kita mesti belajar bagaimana untuk menguasai permainan seawal mungkin dengan menjaringkan gol," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata Speedy Tigers dijangka berdepan cabaran getir memandangkan aksi kelayakan akan berlangsung dalam Ramadan.

Bagaimanapun, beliau menyuarakan keyakinan bahawa pemain negara yang kebanyakannya beragama Islam mampu mempamerkan aksi terbaik walaupun berpuasa untuk melayakkan diri ke kejohanan berprestij itu. 

“Kita sudah berbincang berkenaan perkara ini dan kita akui bukan mudah untuk bermain ketika berpuasa.

“Jadi kita sudah buat banyak program untuk pemain bagi memastikan mereka sentiasa terhidrasi dan bertenaga meskipun bermain ketika bulan puasa,” katanya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Pakistan, China dan Austria.

Skuad negara bakal membuka kempen dengan perlawanan menentang Austria pada 1 Mac diikuti Pakistan keesokannya sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan dengan bertemu China pada 4 Mac.

Mengikut format pertandingan, dua pasukan terbaik setiap kumpulan bakal mara ke separuh akhir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan