SUKAN > BERITA

SELANGOR KONGSI PENGALAMAN ANJUR SUKMA DENGAN KELANTAN - EXCO

16/02/2026 07:33 PM

SHAH ALAM, 16 Feb (Bernama) -- Selangor bersedia berkongsi pengalaman dan memberikan sokongan kepada Kelantan dalam aspek perancangan dan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) menjelang SUKMA 2028, sebagai persiapan awal yang lebih tersusun.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata perkongsian pengalaman di peringkat negeri sangat penting demi menjamin kualiti penganjuran sukan yang telah menjangkau lebih dua puluh edisi itu.

“Kita mempunyai Sekretariat Selangor yang sedang melaksanakan pelbagai perancangan bagi penganjuran SUKMA di negeri ini dan kita bersedia membantu Kelantan dalam aspek-aspek yang diperlukan.

“Malahan kita mengalu-alukan jika pegawai Sekretariat SUKMA Kelantan ditempatkan bersama Sekretariat Selangor untuk menimba pengalaman awal serta memahami proses pelaksanaan secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mohd Najwan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA Selangor mengetuai delegasi Sekretariat SUKMA ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026 ke pejabat Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Ketibaan delegasi disambut Exco Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat Kelantan Zamakhshari Muhamad, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Kelantan Datuk Azi Rahimee Mohamed dan Ketua Pegawai Operasi Sekretariat SUKMA Kelantan Muhammed Imran Mansoor.

Mohd Najwan berkata majlis berkenaan menekankan kepentingan koordinasi awal dan perkongsian strategi penganjuran bagi memastikan setiap persiapan berjalan lancar serta mengurangkan kemungkinan masalah ketika acara sebenar.

Sementara itu, Zamakhshari berkata pertemuan itu membolehkan kedua-dua pihak saling bertukar pandangan serta maklumat secara langsung mengenai persiapan dan pelaksanaan SUKMA 2026 dan 2028.

Selangor menjadi tuan rumah SUKMA edisi ke-22 yang dijadualkan bermula pada 15 hingga 24 Ogos ini dengan mempertandingkan 474 acara melibatkan 37 jenis sukan.

Bagi Para SUKMA Selangor, sejumlah 316 acara daripada 10 jenis sukan dipertandingkan sekali gus menjadikan keseluruhan penganjuran lebih meriah dan menyeluruh bagi atlet dan penonton.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan