SUKAN > BERITA

EMPAT PEMANAH LELAKI NEGARA SERTAI PROGRAM ASIAKOM

25/02/2026 07:19 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Empat atlet memanah lekaki negara disenarai untuk menyertai program elit ASIAKOM bagi mempersiapkan skuad memanah negara dalam acara compound menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 serta Sukan SEA Malaysia 2027. 

Sukan Asia 2026 dijadual berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt ini.

Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) Abdul Hamid Hasan berkata empat atlet berkenaan ialah Mohd Juwaidi Mazuki, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli, Muhammad Syafiq Busthamim dan Aiman Syafiq Tariki.

Beliau berkata projek berkenaan merupakan pelan strategik jangka masa panjang untuk mempersiapkan atlet menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028). 

"Projek ASIAKOM pada asalnya disasarkan untuk Sukan Asia, namun kita merancang agar ia bergerak seiring hingga ke Olimpik. Acara compound dijangka dipertandingkan dalam kategori berpasukan campuran di LA2028,”  katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) 2026 di Majlis Sukan Negara di sini hari ini. 

Abdul Hamid berkata pemilihan empat atlet berdasarkan prestasi semasa serta potensi peningkatan ranking dunia dan mereka juga akan menerima peningkatan elaun dan diberi keutamaan menyertai kejohanan dalam dan luar negara sebagai sebahagian  daripada pendedahan kompetitif berterusan.

Dalam pada itu, beliau berkata pemilihan atlet wanita untuk digandingkan dalam acara berpasukan campuran akan dibuat selepas Sukan Asia 2026 atau Sukan SEA 2027 bagi memastikan kombinasi terbaik dapat dibentuk menjelang LA2028.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan