SUKAN > BERITA

SRAM SASAR SIVASANGARI, EAIN YOW PERTAHAN EMAS SUKAN ASIA 2026

26/02/2026 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) menyasarkan perseorangan wanita negara S. Sivasangari dan perseorangan lelaki Ng Eain Yow mempertahankan pingat emas pada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun, September ini.

Presidennya Gerard Monteiro berkata sasaran itu penting bagi memastikan kedua-dua pemain utama negara berkenaan berada di landasan tepat untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Beliau berkata pemenang pingat emas Sukan Asia akan layak secara automatik ke Olimpik, justeru Sivasangari dan Eain Yow perlu mempertahankan gelaran masing-masing.

“Sivasangari kini berada di ranking keenam dunia dan kita berharap dia mampu menembusi kelompok empat terbaik dunia dalam masa terdekat, manakala Eain Yow di kedudukan ke-19 dunia,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) 2026 di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, hari ini.

Beliau berkata sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia 2026, SRAM bercadang menambah barisan kejurulatihan serta mengadakan kem latihan di luar negara pada Ogos bagi memantapkan lagi prestasi pemain.

Pada edisi Sukan Asia Hangzhou 2022, Malaysia membawa pulang tiga pingat emas menerusi Eain Yow, Sivasangari serta acara berpasukan wanita yang dibarisi Sivasangari, Rachel Arnold, Aifa Azman dan Aira Azman.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan