SUKAN > BERITA

JURULATIH TFC KECEWA PEMAIN MASIH ULANGI KESILAPAN SAMA

28/02/2026 10:16 AM

KUALA NERUS, 28 Feb (Bernama) -- Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Tengku Hazman Raja Hassan mengakui kecewa dengan persembahan anak buahnya pada perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam tadi.

Pengendali kelahiran Kelantan itu berkata pemain masih mengulangi kesilapan sama dengan melepaskan gol mudah sehingga membolehkan pihak lawan menang tipis 1-0.

Beliau berkata kekalahan tersebut menyebabkan skuad Penyu hilang tiga mata berharga di laman sendiri, sekali gus menjejaskan peluang mereka untuk memperbaiki kedudukan di persada liga.

"Saya sudah beritahu pemain jika bermain dengan pasukan berpengalaman dan kuat seperti KL City FC, kita tidak boleh melakukan kesilapan mudah kerana akan menyebabkan kita dihukum dengan jaringan.

"Kita bertahan dengan baik sebelum itu. Tetapi kesilapan sama yang berulang-ulang menyebabkan kita hilang tiga mata dalam perlawanan tadi," katanya selepas perlawanan Liga Super menentang KL City FC malam tadi.  

Bagaimanapun, Tengku Hazman berkata pasukannya masih berada di landasan yang betul untuk menamatkan musim ini di kelompok lima pasukan terbaik liga seperti yang disasarkan.

Sementara itu, pengendali skuad The City Boys Risto Vidakovic berkata meskipun menang tipis, beliau berpuas hati dengan semangat juang yang ditunjukkan anak buahnya.

Beliau berkata kemenangan tersebut membolehkan KL City FC terus bersaing dengan Selangor FC untuk merebut tempat naib juara Liga Super musim ini.

"Tiga mata itu sangat penting bagi kami. Jika kami tewas hari ini, mungkin pilihan kami untuk bersaing merebut tempat kedua sangat kurang."

"Jadi saya fikir pemain kami tahu bahawa kami semakin hampir ke penghujung musim dan setiap perlawanan adalah penting. Ia mungkin satu tekanan besar untuk semua orang. Tetapi saya fikir pemain kami telah melakukan tugas yang baik malam ini. Bukan mudah untuk bermain dengan baik dalam setiap perlawanan," katanya.

Kemenangan malam tadi membolehkan KL City FC naik ke tangga kedua liga dengan kutipan 36 mata manakala TFC kekal di kedudukan kelima dengan 28 mata.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan