SUKAN > BERITA

TENGKU HAZMAN HARAP TFC TERUS KEKAL MOMENTUM

22/02/2026 04:25 PM

MELAKA, 22 Feb (Bernama) -- Ketua Jurulatih interim Terengganu FC (TFC) Tengku Hazman Raja Hassan berharap pasukan itu dapat mengekalkan momentum dan konsisten selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Melaka FC pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat di sini malam tadi.

Beliau berkata pemain memberikan komitmen dan berdisiplin sejak awal permainan, menunjukkan aksi positif serta bersemangat dalam memastikan tiga mata menjadi milik pasukan.

“Ramai pemain tempatan yang diturunkan dan mereka berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Kita kini mempunyai banyak pilihan pemain untuk persediaan mengharungi baki perlawanan.

“Ada ketika kita kelihatan agak kelam-kabut namun pemain berjaya menghadapi tekanan dan melakukan seperti apa yang saya mahu dalam tempoh 10 minit terakhir serta menepati perancangan,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Tengku Hazman berkata kemenangan itu penting dalam memastikan TFC dapat terus bersaing dalam kelompok lima teratas liga selain mengekalkan jarak mata dengan pencabar terdekat.

Beliau berkata TFC mengambil pendekatan satu demi satu bagi memastikan tahap kecergasan pemain pada tahap terbaik berikutan jadual padat bulan ini yang menyaksikan mereka perlu mengharungi lima perlawanan.

Pada pertemuan menentang Kuala Lumpur City FC selepas ini, Tengku Hazman berharap pemain yang mengalami kecederaan dapat kembali memperkuat pasukan selain terus memantapkan corak permainan dan memperkukuh aspek konsentrasi serta disiplin.

Pada perlawanan itu, TFC membuka tirai jaringan pada minit ke-35 menerusi Muhammad Akhyar Rashid namun Melaka menyamakan kedudukan menerusi rembatan jarak jauh Dino Kalesic pada minit ke-73 sebelum Muhamad Baqiuddin Shamsudin memastikan kemenangan milik Terengganu empat minit kemudian.

Sementara itu Ketua Jurulatih Melaka FC E. Elavarasan berkata mereka perlu memperbaik tahap fokus sepanjang 90 minit permainan kerana kesilapan kecil boleh mengundang padah.

Beliau berkata pasukan perlu segera bangkit menjelang pertemuan kedua suku akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim FC (JDT) selain aksi Liga Super bertemu Selangor FC yang disifatkan sebagai cabaran sukar memandangkan lawan tersebut berada pada prestasi terbaik. 

Dengan kemenangan itu, Terengganu FC kini menghuni tangga kelima Liga Super dengan mengumpul 28 mata manakala Melaka FC kekal di kedudukan ke-12 dengan 10 mata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan