SUKAN > BERITA

PAN GON MAHU PEMAIN SELANGOR ANGGAP SETIAP AKSI SEBAGAI PERLAWANAN AKHIR

01/03/2026 04:19 PM

MELAKA, 1 Mac (Bernama) -- Ketua jurulatih Selangor FC Kim Pan Gon mahu anak buahnya menganggap setiap aksi yang berbaki seperti perlawanan akhir ketika perjuangan diteruskan untuk memburu tempat kedua Liga Super susulan seri 0-0 menentang Melaka FC di Stadium Hang Jebat di sini malam tadi.

Beliau yang kecewa dengan kegagalan meraih kemenangan penting malam tadi menyifatkan keputusan itu sebagai merencatkan usaha Red Giants untuk menamatkan saingan Liga Super musim ini sebagai naib juara.

“Kami memulakan perlawanan dengan baik tetapi berakhir dengan kekecewaaan. Jika mahu bergelar naib juara, kami perlu menang aksi seperti ini. Kami masih belum berada pada tahap itu. Kami belum cukup kuat dan kami mesti menjadi lebih baik serta berusaha lebih keras,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Beliau berkata kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol kemenangan tetapi gagal menyudahkannya, menyebabkan perlawanan berakhir dengan keputusan seri.

Mengenai ketumpulan jentera serangan Selangor FC, pengendali dari Korea Selatan itu mengakui perkara tersebut merupakan aspek yang memerlukan penambahbaikan.

“Kadang-kadang kami bermain dengan sangat baik dan boleh menjaringkan sampai lima gol. Kadang-kadang keadaan jadi sebaliknya. Bukan hanya dalam perlawanan ini. Jika kami mahukan prestasi yang lebih baik, kami mesti memperbaiki bahagian ini,” katanya.

Pan Gon berkata skuad bimbingannya berdepan tugas sukar untuk menembusi benteng lawan yang bertahan secara kompak, namun pada masa sama menegaskan penting untuk mereka mencari cara untuk mengatasi cabaran tersebut.

“Pasukan lawan bermain dengan sangat kompak di dalam kotak penalti, tetapi jika anda ingin menduduki tempat kedua, anda mesti mengatasinya. Kami sudah mencuba dan saya tidak boleh menyalahkan sesiapa. Para pemain telah melakukan tugas yang cemerlang. Kami tidak boleh menang setiap masa. Ini sangat menyakitkan dan mengecewakan, tetapi kami perlu terus berjuang,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Melaka FC E. Elavarasan berkata walaupun pasukannya gagal meraih kemenangan dalam dua perlawanan di laman sendiri sebelum ini, para pemain telah menunjukkan peningkatan dari segi keyakinan.

Beliau berkata anak buahnya menunjukkan disiplin yang baik, terutama dalam mengekang gawang daripada dibolosi lawan.

“Dengan baki tujuh perlawanan, sudah tentu perkara utama ialah berjuang untuk meraih mata,” katanya.

Selangor kini menduduki tempat kedua liga dengan 36 mata manakala Melaka kekal di tangga ke-12 dengan 11 mata.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan