SUKAN > BERITA

TENGKU HAZMAN BIMBING TFC HINGGA AKHIR MUSIM LIGA SUPER

04/03/2026 01:16 PM

KUALA NERUS, 4 Mac (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) dijangka tidak akan melantik ketua jurulatih baharu bagi mengharungi baki saingan Liga Super musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Hishamuddin Abdul Karim berkata Tengku Hazman Raja Hassan yang kini memegang jawatan pemangku ketua jurulatih akan terus mengemudi skuad Penyu sehingga Liga Super melabuhkan tirainya pada Mei depan.

Hishamuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu berkata kekangan kewangan antara faktor yang menghalang TFC untuk mendapatkan khidmat jurulatih baharu, selain baki permainan yang hanya tinggal enam perlawanan.

“Kami sedar tentang keadaan kewangan dan tak nak sembunyi. Kalau kita baca dalam isu Ivan Mamut … ia berkait dengan kewangan pasukan.

“Jadi, kami perlu jaga dan kawal perbelanjaan supaya tidak menjejaskan pasukan. Kami maklum tentang harapan dan permintaan penyokong tetapi untuk penuhi hasrat semua orang dengan kekangan kewangan bukan suatu perkara mudah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hishamuddin ketika ditanya mengenai prestasi TFC yang dilihat semakin menurun apabila tewas dalam dua perlawanan terakhir sebelum ini berkata beliau menyedari perkara itu dan berharap agar pemain dapat bangkit pada perlawanan menentang Kelantan TRW FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Jumaat ini.

Beliau bagaimanapun berkata perjalanan pasukan masih di landasan tepat dan menepati sasaran ditetapkan apabila tersenarai dalam kelompok lima pasukan teratas liga.

“Saya akui prestasi kami yang tidak konsisten tetapi saya yakin TFC mampu bangkit dan mencatat kemenangan semula,” katanya.

Dalam pada itu, Hishamuddin memaklumkan pihaknya masih dalam proses menyelesaikan isu berhubung sekatan pemain yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap pasukan yang berpengkalan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) itu.

Beliau berkata TFC sedang berusaha membuat pembayaran secara berperingkat untuk diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Proses untuk buat penyelesaian masih berlaku, cuma tidak sekaligus. Apa pun kami akan selesaikan sebagai mematuhi peraturan dan kebaikan kelab,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan