SUKAN > BERITA

SUKMA 2026: RAGBI WANITA SELANGOR KEKAL PEMAIN, MISI PERTAHAN EMAS DI LAMAN SENDIRI

05/03/2026 03:32 PM

Oleh Muhamad Amir Aiman Azlan

SHAH ALAM , 5 Mac (Bernama) -- Skuad ragbi wanita Selangor bakal mempertaruhkan sebahagian besar pemain edisi lepas bagi mengekalkan pingat emas yang dimenanginya sebelum ini, di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, Ogos ini.

Jurulatih Mohammad Faiz Samsukhidir berkata bagaimanapun sesi pemilihan pemain tetap diadakan, yang telah bermula tahun lepa,s bagi menambah baik kekuatan pasukan sedia ada.

Beliau berkata prestasi pemain akan dinilai semula pada kejohanan pra-SUKMA di Melaka selepas sambutan Aidilfitri, sebelum memuktamadkan senarai akhir 15 pemain untuk mengikuti latihan persiapan menghadapi temasya sukan dwitahunan kebangsaan itu.

“Bermain di padang sendiri sudah pasti akan memberikan kita sedikit kelebihan, terutama sekali dari segi sokongan warga Selangor, namun tidak dinafikan ia juga mampu memberikan tekanan tambahan kepada pemain.

“Harapan saya supaya para pemain dapat buat yang terbaik dan pada masa sama dapat mengekalkan pingat emas di bumi Selangor,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohammad Faiz berkata skuad ragbi wanita Selangor bakal berdepan cabaran getir daripada Johor, Kedah, Terengganu, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

Pada edisi lepas di Sarawak, skuad ragbi wanita Selangor meraih pingat emas menewaskan tuan rumah 12-7 dalam aksi final di Stadium Miri.

SUKMA 2026 akan berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos dengan upacara perasmian di Litar Antarabangsa Sepang manakala temasya Para SUKMA dari 5 hingga 10 Sept. 

Sebanyak 474 acara daripada 37 sukan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue pertandingan manakala Para SUKMA yang berlangsung di Petaling dan Klang melibatkan 10 sukan dan 316 acara.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan