SUKAN > BERITA

TUJUH PEMAIN WARISAN HARIMAU MALAYA TETAP DIGANTUNG 12 BULAN - CAS

05/03/2026 09:41 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebahagiannya membenarkan rayuan tujuh pemain warisan Harimau Malaya terhadap Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung hukuman kerana memalsukan dokumen naturalisasi dan kelayakan.

Dalam keputusan operasi (tanpa alasan terperinci) yang dikeluarkan hari ini, Panel CAS memutuskan bahawa tujuh pemain itu tetap dikenakan penggantungan selama 12 bulan, namun ia hanya terpakai untuk perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.

“Setelah meneliti bukti yang dikemukakan, Panel CAS mendapati kesalahan memalsukan dokumen kelayakan telah terbukti dan penggantungan selama 12 bulan daripada perlawanan adalah hukuman yang wajar dan sepadan bagi para pemain, memandangkan mereka terlibat secara bersama dalam penipuan ini,” menurut kenyataan itu.

Tujuh pemain terbabit adalah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Bagaimanapun, selaras dengan Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC), panel memutuskan bahawa penggantungan hanya terpakai untuk perlawanan serta semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Sehubungan itu, pemain dibenarkan menyambung latihan bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh penggantungan.

“Larangan untuk bermain perlawanan bermula hari ini, 5 Mac 2026, mengambil kira tempoh dari 25 Sept 2025 hingga 26 Jan 2026, di mana penggantungan ini telah dilaksanakan secara berkesan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Panel CAS berpendapat bahawa denda sebanyak CHF 350,000 (anggaran RM1.8 juta) ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) oleh FIFA berhubung kes berkenaan adalah wajar, setimpal, dan kekal berkuat kuasa.

Panel CAS turut memaklumkan bahawa FAM dan pemain berkenaan telah mengemukakan rayuan bersepadu kepada CAS pada 5 Dis 2025.

Dalam rayuan mereka,FAM mengakui wujudnya “kelemahan institusi” dan tidak menafikan kemungkinan badan itu bertanggungjawab terhadap pelanggaran FDC.

“Ia juga menyatakan bahawa para pemain hanya mempunyai peranan terhad dalam menyediakan dokumen yang diminta FAM serta tidak menyiapkan atau mengubah dokumen tersebut,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan sama, rayuan FAM memohon agar keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA diketepikan dan sebarang tindakan terhadap FAM dikenakan denda tidak melebihi CHF 50,000 (sekitar RM253,000).

“Rayuan pemain pula memohon agar keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA dibatalkan sepenuhnya atau, sebagai alternatif, dikenakan hukuman yang setimpal memandangkan mereka tidak bertindak dengan niat atau kecuaian,” katanya.

Rayuan tersebut dipertimbangkan secara bersama oleh Panel ArbitrasiCAS yang diketuai Lars Hilliger (Denmark) sebagai Presiden bersama José Luis Andrade (Portugal) and Massimo Coccia (Itali).

Sesi pendengaran secara bersemuka berlangsung pada 26 Feb di ibu pejabat CAS di Lausanne, Switzerland.

“Ini adalah keputusan operasi (tanpa alasan penuh), dengan Award CAS penuh akan dikeluarkan kemudian,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini pada September lepas, FIFA mengesahkan bahawa FAM dan tujuh pemain berkenaan didapati melanggar Artikel 22 FDC kerana memalsukan dokumen.

Hasil siasatan mendapati FAM telah menyerahkan dokumen yang dipercayai palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain, membolehkan mereka beraksi dalam kemenangan 4-0 Malaysia ke atas Vietnam dalam perlawanan Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 di sini Jun tahun lepas.

FAM kemudian diarahkan membayar denda sebanyak CH350,000 (sekitar RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000) dan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Harapan pengurangan hukuman berkecai apabila Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 Nov lepas menolak rayuan FAM dan pemain, sekali gus mengekalkan keputusan Jawatankuasa Disiplin berhubung pelanggaran serius Artikel 22 FDC.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan