SUKAN > BERITA

AFC RUJUK KES FAM KEPADA JAWATANKUASA TATATERTIB

06/03/2026 12:36 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) telah mengambil maklum mengenai keputusan dibuat oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung kes membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan beberapa pemain kebangsaan.

Menerusi kenyataan hari ini, AFC mengesahkan perkara terbabit kini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC untuk tindakan dan pertimbangan lanjut.

Difahamkan badan induk itu tidak memberikan sebarang komen mengenai siasatan atau prosiding yang sedang dijalankan oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Etika itu. 

Semalam, CAS sebahagiannya membenarkan rayuan tujuh pemain warisan Harimau Malaya terhadap Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung hukuman kerana memalsukan dokumen naturalisasi dan kelayakan.

Dalam keputusan operasi (tanpa alasan terperinci) yang dikeluarkan, Panel CAS memutuskan bahawa tujuh pemain itu tetap dikenakan penggantungan selama 12 bulan, namun ia hanya terpakai untuk perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.

 Panel CAS berpendapat bahawa denda sebanyak CHF 350,000 (anggaran RM1.8 juta) ke atas FAM berhubung kes berkenaan adalah wajar, setimpal, dan kekal berkuat kuasa.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan