KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Tatkala rakyat Malaysia sibuk membuat persiapan berbuka puasa semalam, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengumumkan keputusannya berhubung kes melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pendaftaran tujuh pemain warisan.
Tujuh pemain itu ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Keputusan itu dibuat selepas beberapa perkembangan yang bermula dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada September tahun lepas, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Berikut ialah kronologi yang membawa kepada keputusan CAS:
19 Jan 2025: FAM mengemukakan pertanyaan kepada FIFA mengenai kelayakan Hector Hevel untuk bermain untuk pasukan Malaysia dan melampirkan sijil kelahiran datuknya bertarikh 6 Jan 2025, yang menunjukkan Hendrik Jan Hevel dilahirkan pada 3 Feb 1933 di Melaka.
20 Mac 2025: FAM mengemukakan pertanyaan kepada FIFA mengenai kelayakan Gabriel Felipe Arrocha untuk bermain bagi Malaysia dan melampirkan sijil kelahiran neneknya bertarikh 3 Jan 2025 yang menunjukkan Maria Belen Concepcion Martin dilahirkan pada 17 Mei 1956 di Melaka.
24 Mac 2025: FIFA memaklumkan kepada FAM melalui sepucuk surat bahawa Hevel didapati memenuhi keperluan berkaitan dan boleh mewakili pasukan kebangsaan.
25 Mac 2025: Hevel beraksi dalam perlawanan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal, yang menyaksikan Malaysia menang 2-0. Hevel menjaringkan gol pada minit ke-29 dalam perlawanan itu.
29 Mei 2025: Arrocha beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier-1 menentang Cape Verde yang berkesudahan seri 1-1 .
6 Jun 2025: FAM mengemukakan pertanyaan kepada FIFA mengenai kelayakan Facundo Garces untuk bermain bagi Malaysia dengan melampirkan sijil kelahiran datuknya yang menunjukkan Carlos Rogelio Garces Fernandez dilahirkan di George Town, Pulau Pinang pada 29 Mei 1930.
6 Jun 2025: FAM mengemukakan pertanyaan kepada FIFA mengenai kelayakan Rodrigo Holgado untuk bermain bagi Malaysia dengan melampirkan sijil kelahiran datuknya yang menunjukkan Omar Eli Holgado Gardon dilahirkan di George Town, Pulau Pinang pada 27 Julai 1932.
6 Jun 2025: FAM mengemukakan pertanyaan kepada FIFA mengenai kelayakan Imanol Machuca untuk mewakili Malaysia dengan melampirkan sijil kelahiran neneknya yang menunjukkan Concepcion Agueda Alaniz dilahirkan di George Town, Pulau Pinang pada 16 Ogos 1954.
6 Jun 2025: FAM mengemukakan pertanyaan kepada FIFA mengenai kelayakan Joao Figueiredo untuk mewakili Malaysia dengan melampirkan sijil kelahiran neneknya yang menunjukkan Nair de Oliveira dilahirkan di Johor pada 26 Sept 1931.
6 Jun 2025: FAM mengemukakan pertanyaan kepada FIFA mengenai kelayakan Jon Irazabal untuk mewakili Malaysia dengan melampirkan sijil kelahiran datuknya yang menunjukkan Gregorio Irazabal y Lamiquiz dilahirkan di Kuching, Sarawak pada 24 Feb 1928.
6 Jun 2025: FIFA menghantar surat kepada FAM menjelaskan bahawa berdasarkan maklumat yang diberikan, Holgado, Figueiredo dan Irazabal didapati mematuhi semua keperluan berkaitan dan layak untuk bermain.
9 Jun 2025: FIFA menghantar surat kepada FAM menjelaskan bahawa berdasarkan maklumat yang diberikan, Arrocha, Garces dan Machuca didapati mematuhi semua keperluan berkaitan dan layak untuk bermain.
10 Jun 2025: Kesemua tujuh pemain beraksi menentang Vietnam dalam perlawanan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 dengan memperoleh kemenangan 4-0. Figueiredo dan Holgado masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-49 dan ke-59 perlawanan itu.
11 Jun 2025: FIFA menerima aduan berhubung kelayakan Arrocha, Holgado, Machuca, Irazabal dan Hevel.
22 Ogos 2025: FIFA menjalankan prosiding terhadap FAM serta Arrocha, Garces, Holgado, Machuca, Figueiredo dan Irazabal atas kemungkinan tidak mematuhi Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC).
28 Ogos 2025: FIFA menjalankan prosiding terhadap Hevel atas sebab yang sama.
4 Sept 2025: Arrocha, Garces, Holgado, Figueiredo dan Irazabal beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier-1, yang menyaksikan kemenangan 2-1 ke atas Singapura. Figueiredo menjaringkan gol pada minit ke-55 perlawanan itu.
8 Sept 2025: Arrocha, Holgado dan Figueiredo beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier-1 yang menyaksikan kemenangan 1-0 ke atas Palestin. Figueiredo menjaringkan gol pada minit ketiga perlawanan.
22 Sept 2025: FAM mengemukakan kenyataan pembelaan serta bukti. Para pemain pula melalui FAM pada tarikh yang sama mengemukakan kenyataan bertandatangan.
22 Sept 2025: Susulan penerimaan hujahan pihak perayu, sekretariat memaklumkan kepada pihak perayu bahawa perkara itu telah dirujuk untuk penghakiman pada 25 Sept 2025 oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin FIFA yang bertindak sebagai hakim tunggal.
26 Sept 2025: FIFA mengesahkan bahawa FAM dan tujuh pemain itu didapati melanggar Artikel 22 FDC kerana memalsukan dokumen bagi mengesahkan kelayakan pemain untuk beraksi dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada pada 10 Jun.
26 Sept 2025: FAM diperintahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM11,000) serta digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.
3 Nov 2025: Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan yang dikemukakan FAM dan para pemain, sekali gus mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib berhubung pelanggaran serius Artikel 22 FDC.
18 Nov 2025: FIFA mengeluarkan laporan setebal 64 muka surat yang menjelaskan keputusannya mengekalkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain berkenaan.
8 Dis 2025: FAM mengesahkan telah mengemukakan Pernyataan Rayuan kepada CAS.
17 Dis 2025: FIFA membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan antarabangsa Tier-1 menentang Nepal, Singapura dan Palestin. Harimau Malaya dikenakan kekalahan 3-0 kerana menurunkan pemain yang tidak layak.
26 Jan 2026: Penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak yang dikenakan FIFA terhadap tujuh pemain itu ditangguhkan sementara oleh CAS.
28 Jan 2026: CAS mengesahkan pendengaran secara bersemuka akan diadakan pada 26 Feb di ibu pejabat CAS di Lausanne, Switzerland.
26 Feb 2026: Pendengaran kes berlangsung di ibu pejabat CAS.
5 Mac 2026: CAS mengeluarkan keputusan yang sebahagiannya membenarkan rayuan tujuh pemain terhadap FIFA berhubung hukuman kerana memalsukan dokumen naturalisasi dan kelayakan.
5 Mac 2026: Panel CAS memutuskan tujuh pemain itu dikenakan larangan selama 12 bulan, namun hanya melibatkan perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.
5 Mac 2026: Larangan bermain bermula 5 Mac 2026, dengan tempoh dari 25 Sept 2025 hingga 26 Jan 2026 diambil kira sebagai sebahagian daripada tempoh penggantungan yang telah dilaksanakan secara berkesan.
5 Mac 2026: Panel CAS turut berpendapat denda CHF350,000 yang dikenakan ke atas FAM berhubung kes berkenaan adalah wajar dan setimpal.
5 Mac 2026: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memaklumkan pihaknya mengambil maklum keputusan yang dikeluarkan CAS dan mengesahkan perkara itu akan dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC untuk pertimbangan lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial