SUKAN > BERITA

LIGA SUPER: SELANGOR KEMBALI KE TANGGA KEDUA, BELASAH IMIGRESEN FC 4-0

09/03/2026 12:34 AM

PETALING JAYA, 8 Mac (Bernama) -- Selangor FC kembali merampas tangga kedua Liga Super apabila membelasah Imigresen FC 4-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.

Pesta gol Gergasi Merah bermula pada minit ke-28 menerusi Chrigor Moraes yang menanduk masuk hantaran rakan sepasukan, Faisal Halim sebelum Ahmad Zikri Mohd Khalili meledak gol kedua Selangor pada penghujung separuh masa pertama untuk tuan rumah mendahului 2-0.

Memasuki babak kedua, Selangor dilihat tidak mengendurkan serangan apabila kerap melakukan asakan bertali arus terus ke arah kubu Imigresen FC.

Usaha itu membuahkan hasil apabila Moraes sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring selepas merembat masuk hantaran Alvin Fortes pada minit ke-79.

Victor Pernambuco melengkapkan malam gemilang Selangor menerusi gol sulungnya bersama skuad Merah Kuning itu pada babak akhir perlawanan sekali gus menoktahkan kemenangan 4-0 Selangor.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor mengumpul 39 mata, berkongsi mata dengan Kuala Lumpur City FC (KL City), namun kelebihan perbezaan jaringan membolehkan mereka memintas KL City yang turun ke tangga ketiga.

Selangor akan turun menentang KL City pada perlawanan Liga Super seterusnya di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Ahad depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan