SUKAN > BERITA

GIMNASTIK SASAR 12 PINGAT EMAS SUKAN SEA 2027

09/03/2026 03:38 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) menyasarkan 12 pingat emas pada Sukan SEA 2027 di tanah air bagi melengkapkan koleksi 100 pingat emas sepanjang penyertaan Malaysia dalam temasya sukan dwitahunan itu. 

Presiden MGF Kau Git Kaur berkata setakat ini Malaysia sudah mengutip 88 pingat emas.

“Ini sasaran kami pada Sukan SEA seterusnya, untuk capai emas ke-100,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja 2026 di Majlis Sukan Negara di sini hari ini. 

Pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, skuad gimnastik negara memperoleh 13 pingat emas dalam acara artistik dan gimrama.

Dalam pada itu, Pengarah Teknikal MGF (artistik) Mohd Faiz Mohd Ameer berkata badan induk sukan itu merancang untuk mengadakan kem latihan pusat sama ada di Jepun atau China sebagai persediaan ke Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun dan Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland. 

“Untuk latihan ini, kami fokus kepada latihan intensif, ada dua pilihan negara sama ada China ataupun Jepun. Kami juga akan beri tambahan jurulatih dari Jepun, iaitu Natsumi Hanashima kerana beliau seorang jurulatih dan koreografer untuk bantu atlet kita dari segi teknikal,” katanya. 

Sementara itu, seorang lagi Pengarah Teknikal MGF (gimrama) Petrina Low berkata skuad negara akan menggunakan khidmat jurulatih import dari Itali selain menjalani latihan pusat di Rusia atau Bulgaria.

“Kami akan mulakan latihan koreografi pada Julai tahun ini, kebanyakan koreografer berasal dari Itali. Kami juga akan beraksi pada Kejohanan Asia di Bishkek, Kyrgyzstan pada Mei ini,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan