KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Harapan beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk menjuarai Kejohanan Badminton All England 2026 tidak kesampaian selepas tewas di pentas akhir, sekali gus melanjutkan kemarau 19 tahun Malaysia dalam acara tersebut.
Dalam pertarungan sengit di Arena Utilita Birmingham, pada Ahad, pasangan nombor dua dunia itu tewas 21-18, 12-21, 21-19 kepada juara bertahan dari Korea Selatan Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Won Ho-Seung Jae yang juga beregu nombor satu dunia menampilkan aksi agresif untuk menundukkan Aaron-Wooi Yik meskipun tewas set pertama 18-21.
Pilihan utama itu seterusnya berjaya bangkit di set kedua dengan keputusan meyakinkan 21-12 sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-19 dalam tempoh 63 minit.
Keputusan tersebut menyaksikan Aaron-Wooi Yik sekali lagi terlepas peluang merangkul gelaran sulung kejohanan berprestij itu selepas tewas pada perlawanan akhir edisi 2019 dan 2024.
Kali terakhir wakil Malaysia menjuarai kejohanan bertaraf Super 1000 itu ialah pada edisi 2007 menerusi gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang mengejutkan pasangan nombor satu dunia ketika itu dari China Cai Yun-Fu Haifeng.
Selaku juara, Won Ho-Seung Jae membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$107,300 (RM423,466), sementara Aaron-Wooi Yik meraih AS$50,750 (RM200,288).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial