KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan memastikan kesahihan program latihan sebelum menyertainya, susulan laporan mengenai beberapa kelab yang didakwa membuat tuntutan palsu kononnya mempunyai kaitan dengan badan induk itu.
Dalam kenyataan hari ini, BAM memaklumkan ibu bapa perlu mengesahkan sebarang dakwaan hubungan rasmi sebelum mendaftarkan anak-anak atau membuat sebarang pembayaran kepada pihak terbabit.
“BAM dimaklumkan mengenai beberapa program latihan dan kelab badminton yang mendakwa atau memberi gambaran mempunyai kaitan dengan BAM.
“BAM ingin menegaskan bahawa program dan kelab berkenaan tidak bergabung, tidak disokong serta tidak dibenarkan oleh BAM,” menurut kenyataan itu.
BAM turut menasihati mana-mana pihak yang didapati memalsukan afiliasi dengan BAM atau menggunakan logo badan itu tanpa kebenaran supaya segera menghentikan dakwaan atau penggunaan berkenaan.
“BAM memandang serius penyalahgunaan nama dan reputasinya serta berhak mengambil tindakan sewajarnya jika perlu.
“Bagi pengesahan program rasmi BAM, orang ramai boleh merujuk saluran komunikasi rasmi BAM,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial