SUKAN > BERITA

RANKING HARIMAU MALAYA JATUH, CKLAMOVSKI KEKAL OPTIMIS

24/03/2026 09:57 AM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Kejatuhan ranking skuad Harimau Malaya sebanyak 14 anak tangga kepada kedudukan ke-135 dunia disifatkan sebagai tamparan hebat kepada ketua jurulatih, Peter Cklamovski.

Bagaimanapun, pengendali dari Australia itu menegaskan skuad kendaliannya kekal positif walaupun berdepan kontroversi yang melanda arena bola sepak tanah air, selain percaya usaha untuk menembusi kelompok 100 terbaik dunia masih berada pada landasan tepat.

Beliau berkata segala perkara yang berada dalam kawalan pasukan telah dilaksanakan dengan baik, termasuk aspek latihan, corak permainan dan analisis taktikal, sambil menyifatkan halangan luar sebagai cabaran sementara yang perlu diharungi.

“Sudah tentu, dalam 12 bulan terakhir ini, kami berada pada landasan yang betul. Cara berlatih, cara bermain, cara menganalisis lawan, cara menilai permainan, dan bagaimana kami boleh terus memajukan bola sepak telah dilaksanakan dengan baik.

“Perkara di luar padang telah memberikan kesan kepada kami, itu hanyalah satu halangan sementara, tetapi bagi saya setiap kisah yang hebat, pasti ada aspek negatif, dan kami perlu menjadikannya sebagai pengajaran,” katanya ketika ditemui menjelang aksi terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di sini semalam.

Cklamovski berkata soal masa akan menjadi penentu bagi merealisasikan hasrat berkenaan selepas mengambil alih Harimau Malaya pada 2024.

Semalam, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengeluarkan kedudukan ranking terbaharu Harimau Malaya yang  jatuh 14 anak tangga dan berada pada kedudukan ke-135 dunia dengan kutipan 1,095.90 mata.

Kejatuhan ketara itu berpunca daripada hukuman berat yang dikenakan FIFA berikutan isu pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan yang tidak sah.

Terdahulu, FIFA membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin dengan memberikan kemenangan percuma 0-3 kepada pasukan lawan.

Situasi menjadi semakin parah apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) turut mengambil tindakan serupa terhadap dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 ketika menentang Vietnam dan Nepal yang turut menggunakan khidmat pemain terbabit.

Keputusan AFC yang mengisytiharkan Malaysia kalah 0-3 dalam perlawanan tersebut bukan sahaja merentap mata ranking negara, malah mengesahkan kegagalan Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke saingan Piala Asia 2027.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan