SUKAN > BERITA

F1: MERCEDES OPTIMIS NAMUN BERHATI-HATI HADAPI MUSIM 2026

25/03/2026 11:16 AM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Dari sesi ujian shakedown di Barcelona hingga ujian pramusim di Bahrain, pasukan  Formula Satu (F1) Mercedes-AMG PETRONAS memperlihatkan perkembangan cukup positif dengan menterjemahkan persiapan kepada penamat 1-2 pada perlumbaan pembukaan musim 2026 di Litar Albert Park, Melbourne serta meneruskan momentum itu pada perlumbaan berikutnya di Shanghai, China.

Pasukan Silver Arrows dilaporkan mencatat lebih banyak jarak pemanduan, iaitu sekitar 1,200 pusingan berbanding pesaing sepanjang ujian di Barcelona pada Januari dan di Bahrain bulan lepas.

Program ujian intensif itu susulan peraturan baharu F1 oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) bagi musim 2026 yang memperkenalkan parameter aerodinamik yang disemak semula, tahap elektrifikasi lebih tinggi dalam unit kuasa, serta keperluan kecekapan lebih ketat bertujuan meningkatkan kemampanan dan daya saing di litar.

Penetapan semula peraturan tersebut telah mendorong pasukan untuk menjalankan pengumpulan data dan sesi pengesahan yang lebih menyeluruh bagi mengoptimumkan prestasi jentera, kebolehpercayaan serta strategi penggunaan tenaga menjelang perlumbaan pembukaan musim.

Namun, pemandu utama George Russell mengingatkan bahawa prestasi semasa ujian tidak memberi banyak makna sebaik sahaja saingan membuka tirai di Albert Park.

“Kami sememangnya mempunyai potensi untuk meraih keputusan cemerlang. Tiga sesi ujian yang telah dijalankan di Barcelona dan dua sesi di Bahrain menunjukkan prestasi kereta yang cukup baik.

“Namun, terdapat beberapa isu reliability yang perlu kami atasi kerana untuk menang, pertama sekali anda perlu menamatkan perlumbaan,” katanya ketika sesi meja bulat pasukan Mercedes-AMG PETRONAS bersama media di sini baru-baru ini, menjelang Grand Prix (GP) Australia.

Pemandu Britain berusia 28 tahun itu turut menyokong peralihan kepada reka bentuk kereta yang lebih kompak pada musim baharu, sambil mengakui bahawa kereta F1 generasi terdahulu  “terlalu besar” dan terasa berat “seperti bas” ketika melalui selekoh.

“Menjadi lebih ringan adalah perkara baik dan saya benar-benar berharap pada tahun-tahun akan datang kami dapat terus mengurangkan berat kerana ini adalah F1 dan kereta perlu menjadi seberapa ringan yang mungkin,” katanya.

Peraturan baharu 2026 menetapkan antara lain, bahawa kereta baharu mesti 20 sentimeter (cm) lebih pendek, 10 cm lebih sempit dan sekitar 30 kilogram lebih ringan, dengan jarak roda yang dipendekkan menjadikannya lebih tangkas dan responsif ketika melalui selekoh.

Sementara itu, pemandu kedua, Kimi Antonelli berkata Mercedes berada dalam kedudukan yang baik, namun mengakui banyak persoalan masih belum terjawab sehingga sesi kelayakan di Melbourne.

“Kami menghadapi beberapa isu, tetapi saya yakin pasukan sedang melakukan yang terbaik untuk memastikan kami bersedia sepenuhnya bagi musim 2026 dan berada dalam kedudukan terbaik untuk bersaing merebut kemenangan,” katanya.

Memasuki tahun keduanya, pemandu berusia 19 tahun itu berkata beliau bersedia memulakan musim dengan semangat membara dan akan menumpukan perhatian untuk memaksimumkan prestasi perlumbaan demi perlumbaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komunikasi Mercedes-AMG PETRONAS F1 Bradley Lord berkata pasukan tidak boleh mengambil ringan sebarang perkara walaupun telah mencatat jarak pemanduan yang tinggi semasa ujian dan berjaya meraih kemenangan baru-baru ini.

Tidak seperti sesi ujian, Lord memberi amaran bahawa waktu perlumbaan hujung minggu yang terhad tidak memberi ruang untuk kesilapan, menjadikan kebolehpercayaan dan pengurusan unit kuasa baharu yang teliti sebagai cabaran utama pasukan dalam pusingan pembukaan.

Pada musim lepas, Mercedes muncul sebagai pasukan kedua terbaik dalam kejuaraan pengeluar dunia dengan 469 mata, di belakang McLaren yang mengumpul 833 mata.

Russell, sebaliknya, menduduki tempat keempat kejuaraan pemandu dengan 319 mata manakala Antonelli melengkapkan musim sulungnya di tangga ketujuh dengan 150 mata.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan