SUKAN > BERITA

KEJOHANAN MEMANAH PIALA ASIA: FATIN NURFATEHAH MARA KE FINAL COMPOUND WANITA

25/03/2026 09:18 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Pemanah negara Fatin Nurfatehah Mat Salleh mara ke perlawanan akhir acara compound individu wanita pada Kejohanan Memanah Piala Asia 2026 (Peringkat 1) di Bangkok, Thailand hari ini.

Pada aksi separuh akhir, atlet berusia 34 tahun itu berjaya mengatasi lawannya yang juga Atlet Neutral Individu (AIN) Mariia Dimidiuk 144-143.

Menanti Fatin Nurfatehah pada perlawanan akhir Jumaat ini ialah seorang lagi AIN Arina Cherkezova yang menewaskan wakil India Tejal Rajendra Salve 147-144 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Terdahulu, Fatin Nurfatehah berjaya membantu pasukan compound wanita meraih gangsa selepas menewaskan Thailand menerusi penentuan shoot-off selepas terikat 225-225.

Dalam pada itu, hasrat dua pemanah recurve negara Evan Rich Chong dan Joey Tan untuk mara ke perlawanan akhir acara individu lelaki dan wanita tidak kesampaian apabila tewas pada lawan masing-masing pada peringkat separuh akhir.

Evan tewas kepada wakil Vietnam Nguyen Hoang Phi Vu 3-7 manakala Joey tunduk kepada Ridhi dari India 6-0.

Kedua-dua pemanah itu bagaimanapun masih berpeluang menyumbang pingat buat kem negara pada kejohanan berkenaan apabila bakal beraksi pada penentuan tempat ketiga dan keempat pada Jumaat ini.

Evan dijadualkan bertemu Kirill Batuev yang mewakili AIN manakala Joey akan turun menentang Baasandorj Oyun dari Mongolia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan