SUKAN > BERITA

HARIMAU MALAYA AKAN BERMAIN UNTUK KEBANGGAAN NEGARA MENENTANG VIETNAM - LAMBERT

29/03/2026 04:52 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Pemain pertahanan Harimau Malaya Declan Lambert mengakui beliau dan rakan sepasukan akan bermain untuk kebanggaan negara pada perlawanan terakhir Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Nam Dinh pada 31 Mac ini.

Beliau berkata persaingan dalam pasukan, khususnya di posisi pertahanan ketika ini sebagai sesuatu yang sihat dan mencabar apabila pemain bersaing antara satu sama lain untuk mempamerkan prestasi terbaik di hadapan barisan kejurulatihan sepanjang sesi latihan.

“Sukar untuk diperkatakan kerana Malaysia telah tersingkir, namun ia masih lagi satu perlawanan penting buat kami untuk menunjukkan bahawa kami mampu bersaing dan menewaskan pasukan-pasukan ini walaupun malangnya kami sudah tersingkir. (Ia) bagi menunjukkan kebanggaan kami sebagai rakyat Malaysia,” katanya dalam rakaman video yang dikongsi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada media hari ini.

Ketika ditanya sama ada beliau berharap untuk beraksi dalam edisi Piala Asia 2031, Lambert mengakui usia beliau akan berada dalam lingkungan 30-an kerana ketika ini beliau berusia 28 tahun dan perlu mengekalkan tahap kecergasan.

Harapan Malaysia untuk beraksi pada Pusingan Akhir Piala Asia berdasarkan merit buat kali kedua berturut-turut berkecai selepas dikenakan pemotongan mata oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Sementara itu, Vietnam telah layak ke Pusingan Akhir Piala Asia 2027 selepas mengetuai Kumpulan F dengan 15 mata, diikuti Malaysia di tempat kedua dengan sembilan mata manakala Laos dan Nepal masing-masing di tempat ketiga dan keempat dengan tiga mata.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC mendapati FAM telah melanggar Perkara 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam dua perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal dan Vietnam.

-- BERNAMA

 


FRHN FRHN NMN


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan