DUNIA > BERITA

TRUMP “LEBIH SUKA” TAWAN HAB MINYAK IRAN KETIKA TENTERA AS DIKERAH KE ASIA BARAT

30/03/2026 12:11 PM

ANKARA, 30 Mac (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata beliau “lebih suka” untuk “mengambil alih minyak” di Iran dan membayangkan bahawa Washington boleh menawan Pulau Kharg, sebuah hab eksport utama, ketika tentera AS meluaskan kehadiran mereka di Asia Barat, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Financial Times.

“Sejujurnya, perkara kegemaran saya ialah mengambil alih minyak di Iran,” katanya dalam wawancara dengan Financial Times, sambil membandingkan pendekatan itu dengan Venezuela apabila AS berhasrat mengawal sektor minyak “untuk tempoh yang tidak ditentukan.”

Kenyataan itu dibuat ketika harga minyak meningkat lebih 50 peratus dalam tempoh sebulan, dengan minyak mentah Brent melepasi paras US$116 setong susulan konflik yang semakin memuncak melibatkan AS, Israel dan Iran.

“Mungkin kita menawan Pulau Kharg, mungkin tidak. Kita mempunyai banyak pilihan,” kata Trump mengenai kemungkinan operasi itu, sambil menambah langkah sedemikian “juga bermakna kita perlu berada di sana untuk satu tempoh tertentu.”

“Saya tidak fikir mereka mempunyai sebarang pertahanan. Kita boleh menawannya dengan sangat mudah,” katanya lagi.

Pentagon telah mengarahkan pengerahan 10,000 anggota tentera yang dilatih untuk operasi darat, dengan kira-kira 3,500 daripadanya sudah tiba di rantau itu, termasuk sekitar 2,200 anggota Marin, manakala pasukan tambahan sedang dalam perjalanan.

Pegawai memberi amaran bahawa serangan ke atas Pulau Kharg boleh meningkatkan risiko kepada tentera AS dan memanjangkan konflik.

Walaupun berlaku peningkatan ketegangan, Trump berkata rundingan tidak langsung dengan Iran melalui “utusan” Pakistan menunjukkan kemajuan, sambil menambah: “Satu perjanjian boleh dicapai dengan agak cepat.”

Beliau turut berkata Iran telah membenarkan 20 kapal tangki minyak yang berdaftar di Pakistan melalui Selat Hormuz, dengan menyatakan: “Mereka memberi kita 10. Sekarang mereka memberi 20.”

Ketegangan serantau terus memuncak sejak Israel dan AS melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Feb, yang setakat ini mengorbankan lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu Ayatollah Ali Khamenei.

Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, menyebabkan kemalangan jiwa dan kerosakan terhadap infrastruktur selain menjejaskan pasaran global serta penerbangan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan