TINTA MINDA

DILEMA ANTARA PEMULIHAN EKONOMI ATAU MEMBENDUNG COVID-19

13/05/2020 10:33 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Norlin Khalid


“Bagai ditelan mati emak, diluah mati bapa.” Begitulah perumpamaan yang berlaku sekarang apabila negara kini berada dalam keadaan dilema antara pemulihan ekonomi atau membendung penularan COVID-19.

Situasi negara yang ingin melandaikan keluk penularan COVID-19 dengan mengenakan perintah kawalan pergerakan terpaksa menutup hampir keseluruhan sektor ekonomi kecuali barang keperluan asas seperti makanan dan kesihatan.

Tindakan pantas kerajaan mengenakan sekatan kawalan pergerakan ini berjaya melandaikan keluk COVID-19 dengan jumlah kes positif semakin hari berkurang dan semakin ramai pesakit yang telah sembuh walaupun jumlah pesakit positif di kalangan rakyat tempatan masih ada.


Namun, timbul pula masalah apabila kini negara berada dalam kedudukan ekonomi yang meruncing.

Sudah pasti bila adanya kawalan pergerakan, ramai yang tidak dapat bekerja, aktiviti pengeluaran di kilang-kilang tidak dapat diteruskan, perniagaan yang bukan berbentuk barang keperluan asas terpaksa ditutup, aktiviti pelaburan terganggu.

Ia telah mengganggu rantaian ekonomi di mana sebelum ini pengguna dapat membeli dan menggunakan sesuatu barang atau perkhidmatan secara langsung namun kini ia terbatas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Sepanjang hampir 2 bulan tempoh PKP , negara kehilangan kira-kira RM63 bilion dan sekiranya diteruskan lagi negara akan kehilangan sebanyak RM2.4 bilion sehari.

Negara kini memasuki fasa kemelesetan ekonomi dengan pertumbuhan ekonomi dijangka berada sekitar negatif -2.0 hingga +0.5 peratus (mengikut Bank Negara Malaysia).

Malah, keadaan lebih merisaukan apabila semakin ramai pekerja yang akan diberhentikan atau tidak dibayar gaji akibat syarikat yang tidak dapat beroperasi ketika tempoh kawalan pergerakan.
Kumpulan yang paling banyak terkesan adalah mereka yang tidak bekerja tetap terutamanya peniaga kecil-kecilan atau syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang rata-ratanya mempunyai aliran stok modal yang kecil dan hanya dapat bertahan untuk satu tempoh jangka masa pendek sahaja.

Kaji selidik Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC) meramalkan kira-kira 40 peratus syarikat PKS akan berhenti beroperasi sekiranya PKPB berlanjutan antara 3 hingga 6 bulan.

Bagi kes ekstrem, ada individu yang mungkin kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan.

Tidak semua mendapat nasib yang serupa akibat pandemik COVID-19 ini. Keadaan ini sudah pasti akan menyebabkan jurang pendapatan semakin melebar.

Perlunya PKPB


Justeru, keadaan pastinya membimbangkan sekiranya sektor ekonomi berterusan ditutup untuk satu jangka masa yang lebih panjang.

Walaupun kerajaan telah mengambil inisiatif membantu individu atau syarikat terjejas dengan memberikan pakej rangsangan ekonomi, ia bersifat jangka pendek.

Kedudukan fiskal negara juga agak membimbangkan. Selain kerajaan menyuntik dana pakej rangsangan ekonomi, kerajaan juga mengalami hasil yang semakin berkurang apabila aktiviti ekonomi tidak dapat dijalankan.

Malah, kejatuhan harga minyak dunia menyebabkan hasil negara semakin berkurangan. Sekiranya keadaan ini berterusan, ekonomi akan semakin tenat dan sukar untuk dipulihkan lagi.
Lantaran itu, bermula 4 Mei 2020, kerajaan membuat keputusan membuka sektor ekonomi secara perlahan dengan memperkenalkan PKP Bersyarat (PKPB) dengan lebih banyak sektor-sektor ekonomi dapat beroperasi.

Sudah pasti ia merisaukan ramai pihak terutamanya petugas barisan hadapan yang selama ini telah berusaha membasmi penularan COVID-19.
Namun, kerajaan melaksanakan langkah ini pastinya setelah mendapat konsensus pakar kesihatan dunia dan dalam negara serta pakar ekonomi.

Walaupun kerajaan melonggarkan PKP dengan membenarkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi, ia harus mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mencegah risiko penularan COVID-19.

Pulihkan ekonomi


Langkah kerajaan melaksanakan PKPB dapat mengekang ekonomi daripada terus meleset serta membantu memulihkan semula ekonomi negara.

Dengan itu, aktiviti pengeluaran dan urusniaga dapat dilakukan, pelaburan dapat dijana semula, sebahagian pekerja boleh datang bekerja semula dan mendapat gaji untuk menyara kos sara hidup.
Ekonomi perlu dimulakan semula selepas satu tempoh perintah kawalan pergerakan bagi memastikan tiada kumpulan yang terjejas dan jurang pendapatan tidak semakin melebar.


Kejayaan negara melandaikan keluk COVID-19 dan dalam masa yang sama merancakkan semula ekonomi sangat bergantung pada peranan semua pihak.

Ia memerlukan tanggungjawab bersama secara kolektif bagi memastikan negara dapat bebas dari COVID-19 dan langkah pemulihan ekonomi dapat diteruskan secepat mungkin.
Walaupun kerajaan melaksanakan PKPB, setiap individu harus bertanggungjawab meneruskan aktiviti harian berasaskan normal baru.

Semua harus sentiasa peka, mengamalkan penjarakkan sosial, membuat langkah pencegahan dan memastikan tidak membuat perkara yang boleh menyumbang kepada penularan COVID-19.
Kesihatan sangat penting dan kesejahteraan ekonomi juga penting. Kedua-duanya perlu seiring dan saling melengkapi bagi memastikan kebajikan rakyat dan negara dapat dikekalkan.
- BERNAMA

Dr. Norlin Khalid merupakan Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)