Penilaian adalah salah satu aspek penting dalam pembelajaran yang perlu dilakukan secara berterusan dan berkala. Secara umumnya, penilaian dibahagikan kepada dua bentuk iaitu penilaian berbentuk formatif dan penilaian berbentuk sumatif. Penilaian formatif merujuk kepada penilaian tidak formal yang dilakukan untuk memantau kemajuan dan kebolehan pelajar, mendiagnosis masalah yang sedia ada, bertujuan untuk memberi maklum balas kepada pelajar tentang kemajuan mereka. Penilaian sumatif pula, adalah lebih formal dengan tujuan untuk pengredan dan pensijilan. Ianya menilai tahap penguasaan pelajar pada akhir tempoh sesuatu pengajian sebelum melanjutkan diri ke tahap seterusnya sama ada pada semester atau tahun yang berikutnya.
Berikutan masalah pandemik COVID-19 yang melanda, hampir kesemua institusi pengajian rendah, menengah dan tinggi di seluruh dunia terpaksa ditutup. Implikasinya dilihat kepada penangguhan proses pengajaran dan pembelajaran, sekaligus memaksa pelajar dan warga pendidik berubah kepada pengajaran dan pembelajaran dalam talian. Proses pembelajaran norma baru ini walaupun agak sukar dilaksanakan pada peringkat awalnya, namun telah menunjukkan pencapaian yang agak memberangsangkan dari semasa ke semasa, berkat daripada kesungguhan pelbagai pihak untuk beradaptasi kepada keadaan.
Platform penilaian interaktif
Namun begitu, pelaksanaan proses penilaian secara dalam talian mengundang pelbagai reaksi daripada pihak yang terbabit. Penilaian formatif adalah lebih senang untuk dilakukan secara dalam talian dengan menggunakan pelbagai aplikasi yang sedia ada seperti Kahoot, Quizziz, Google form dan juga Learning Management System (LMS) yang dibangunkan institusi masing-masing. Ia dapat dilakukan dengan pantas, dengan proses permarkahan adalah secara automatik dan maklum balas masa nyata dapat diberikan kepada pelajar. Penilaian formatif secara dalam talian ini ternyata dapat menjimatkan masa dan wang di samping menyediakan satu platform interaktif untuk penilaian.
Berbeza pula dengan penilaian sumatif yang dilihat sebagai satu penilaian berkepentingan tinggi (high stakes), justeru pelaksanaanya memerlukan kepada perancangan dan tatacara kerja yang lebih rapi bagi menjamin kesahan dan kebolehpercayaan penilaian tersebut. Pengendalian penilaian sebelum ini yang dilakukan secara bersemuka telahpun disusun secara sistematik sehingga wujudnya tatacara operasi standard yang perlu dipatuhi. Dalam tatacara tersebut juga telah digariskan cara-cara bagi menangani masalah-masalah yang mungkin timbul.
Kewajaran pelaksanaan penilaian dalam talian
Merujuk kepada garis panduan yang dikeluarkan Agensi Kelayakan Malaysia atau MQA, peperiksaan akhir (sumatif) boleh digantikan dengan penilaian berbentuk formatif secara dalam talian. Namun bagi sesetengah program yang tertakluk kepada badan professional seperti program perubatan, kejuruteraan dan juga undang-undang, kaedah ini tidak boleh dilaksanakan dan perlu diadakan peperiksaan akhir bagi memenuhi standard yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, dalam Program Perubatan, kebenaran penilaian dalam talian diberikan untuk komponen teori sahaja manakala komponen klinikal tetap perlu diadakan secara bersemuka.
Pada dasarnya, jika penilaian akhir tidak dilakukan secara dalam talian pada sesi pengajian kali ini, institusi boleh memilih untuk menangguhkan pelaksanaan penilaian akhir bagi pelajar-pelajar tersebut. Bagaimanpun, ia sekali gus mengakibatkan penangguhan pengijazahan pelajar dan menyukarkan mereka untuk merebut peluang pekerjaan. Anjakan tempoh masa penilaian dalam takwim juga bakal menyebabkan beban berganda yang terpaksa ditanggung pada sesi pengajian yang akan datang dari segi jumlah pelajar dan juga akses kepada fasiliti.
Kesediaan pelajar dan tenaga pengajar
Melaksanakan penilaian dalam talian ternyata bukanlah sesuatu keputusan yang mudah malahan mengundang keresahan kepada para pelajar, para pendidik malahan institusi pengajian tersebut. Bagi para pelajar, mereka merasakan bahawa penilaian dalam talian apatah lagi dilakukan dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan krisis kesihatan awam adalah sesuatu yang tidak adil buat mereka. Sesetengah pelajar berhadapan dengan kekangan teknologi dari segi ketiadaan alatan dan capaian internet yang optimum. Malahan, ada antara mereka juga tidak mempunyai ruang dan persekitaraan yang kondusif di premis masing-masing sekali gus boleh mengganggu emosi dan kesediaan mereka menduduki peperiksaan. Sentimen yang sama juga turut dirasai para pelajar yang tidak mendapat akses kepada bahan rujukan dan mungkin ketinggalan dalam pembelajaran yang dilakukan sebelum ini.
Para pendidik juga memerlukan masa dan latihan yang secukupnya bagi mengendalikan penilaian dalam talian. Persediaan rapi perlu dilakukan memandangkan kaedah penilaian ini untuk penilaian akhir belum pernah dilaksanakan dan sudah tentu menuntut masa dan tenaga, apatah lagi bagi mereka yang baru pertama kali meneroka kecanggihan teknologi. Bentuk soalan yang digunakan dalam penilaian secara tradisional sebelum ini belum tentu sesuai digunakan untuk penilaian dalam talian, dan ini memerlukan kepada beberapa pengubahsuaian. Kesemua perubahan ini dalam masa yang sama perlu mengambil kira piawaian yang telah ditetapkan di samping memastikan hasil pembelajaran dapat dicapai.
Kebolehpercayaan keadah penilaian dalam talian
Walaupun dengan persediaan rapi termasuklah menjalankan simulasi, perjalanan penilaian dalam talian tidak kebal dari masalah. Antara perkara utama yang mengundang keresahan adalah kebolehpercayaan atau “reliability” penilaian dalam talian tersebut. Hakikatnya pembekal data yang sedia ada masih belum boleh menjanjikan capaian internet yang optimum untuk setiap masa, meliputi setiap ceruk dan rantau dalam negara. Masih berlaku lagi keadaan pengguna internet terutamanya di kawasan luar bandar, menghadapi masalah capaian internet yang lemah dan tidak stabil. Perkara ini jika tidak dapat diperbaiki akan mengganggu perjalanan penilaian dalam talian.
Selain itu juga, aspek keselamatan dalam talian perlu diambil berat dalam memastikan tidak berlaku ketirisan semasa dalam tempoh penilaian. Keselamatan internet adalah mandatori apatah lagi jika ia membabitkan penukaran dan perkongsian data penting. Walaupun pelbagai sistem keselamatan canggih dibangunkan, namun terdapat segelintir masyarakat yang akan cuba dengan sedaya upaya mereka untuk mengatasi sistem dan peraturan yang disediakan. Yang pasti, kecanggihan teknologi boleh dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun masih belum mampu menjanjikan bahawa kaedah penilaian dalam talian adalah kalis cuai.
Pelbagai aspek ketelusan pelajar juga perlu diambil kira ketika melakukan sesuatu proses penilaian. Para pelajar harus diingatkan bahawa peraturan peperiksaan yang sedia ada masih terpakai dan tindakan tatatertib boleh diambil jika didapati melanggar peraturan. Secara teknikalnya, penilaian secara ‘open book’ dikatakan mampu untuk mengurangkan masalah penipuan semasa peperiksaan kerana soalan yang diberikan adalah berbentuk penyelesaian masalah yang menguji kemampuan pelajar untuk berfikir berbanding dengan kemampuan mereka untuk menghafal atau mencari jawapan melalui Google. Soalan peperiksaan juga haruslah dijana secara rawak bagi setiap pelajar. Sistem atau pelayar web yang digunakan haruslah mempunyai kaedah keselamatan bagi mengekang mana-mana cubaan untuk menyalin soalan dan membuat carian internet di pelayar web yang lain.
Kesimpulan
Walaupun kaedah penilaian dalam talian tampak baru, namun dengan adanya masalah pandemik COVID-19 ini dan pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk tidak membenarkan aktiviti akademik di kampus secara bersemuka hingga hujung tahun, penilaian dalam talian akan menjadi sesuatu yang mustahil untuk dielakkan. Dengan kecanggihan teknologi yang sentiasa berevolusi, dijangkakan penilaian dalam talian akan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan. Apa yang penting adalah kerjasama dari semua pihak yang berkaitan bagi memastikan penilaian yang diberikan adalah adil, sah dan boleh dipercayai untuk dilaksanakan.
-- BERNAMA
Dr Natasya Abdullah merupakan Pensyarah Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia