NOTA KAMPUS

PENDIDIKAN TINGGI PASCA-COVID-19: ANTARA NORMA BAHARU DAN HALA TUJU

12/06/2020 03:28 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof. Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi

Tatkala badai ancaman COVID-19 kian reda, dunia sedang menghadapi era pasca-COVID-19, yang dalam tempoh masa singkat telah memberikan impak besar kepada pelbagai sektor di negara kita. Bukan sahaja dari segi peningkatan kadar pengangguran dan ketidaktentuan ekonomi dunia, sektor-sektor lain turut merasai tempias pandemik yang di luar dugaan tersebut dengan sektor pendidikan tidak terkecuali.

Dari perspektif pendidikan tinggi, ketika para pensyarah dan pelajar sedang melakukan adaptasi terhadap pembelajaran dalam talian, banyak norma baharu yang perlu diberikan perhatian khusus.

Norma ini secara tidak langsung akan memberikan impak kepada pelan strategik setiap institusi pengajian tinggi di samping mengubah pacuan hala tuju sedia ada. Malah, tidak mustahil juga landskap sistem pendidikan tinggi terutamanya dari aspek pengajaran dan pembelajaran yang sedang dilaksanakan pada waktu ini, akan terus kekal bersama arus perubahan semasa untuk tempoh waktu yang panjang.

Norma baharu

Pendidikan tinggi pasca-COVID-19 di Malaysia akan menghadapi impak norma baharu dari beberapa skop utama:

Pertama, kelestarian kewangan institusi pendidikan tinggi akan terjejas berikutan penguncupan bilangan pelajar tempatan dan antarabangsa serta penyusutan pendapatan daripada program-program akademik yang biasanya dapat menampung pelbagai kos operasi. Henry Chesbrough melalui artikelnya di Forbes telah menerangkan betapa pengurangan bilangan pelajar dan pendapatan keseluruhan universiti akan menyebabkan penutupan universiti dalam kadar yang membimbangkan terutamanya universiti swasta.

Universiti awam walaupun turut dibantu dana kerajaan, sebenarnya akan merasai tekanan yang sama berikutan peningkatan kos operasi dan pengurangan hasil. Penggunaan ruang-ruang kuliah dan fasiliti pengajaran yang sedia ada perlu mematuhi peraturan jarak sosial dan keadah kawalan yang lain. Keadaan ini akan menyebabkan ruang-ruang ini tidak dapat digunakan secara optimum. Kelengkapan dan perkhidmatan tambahan untuk pembelajaran dalam talian juga perlu ditambah baik dan akan menelan kos yang lebih tinggi. Maka, strategi pengurusan kewangan yang lebih inovatif perlu dirangka.

Kedua, perubahan struktur dan penyampaian kurikulum program akademik di universiti akan berlaku dengan lebih rancak semasa dan selepas pandemik COVID-19. Walaupun kebanyakan kaedah yang dijalankan sekarang adalah bersifat sementara, namun kesan perubahan ini dijangka akan berterusan. Program-program akademik akan dinilai kembali melalui amalan penambahbaikan kualiti berterusan sedia ada. Namun, ia perlu disokong oleh garapan kurikulum yang lebih fleksibel dan anjal agar proses pembelajaran masih dapat diteruskan walaupun dalam situasi luar jangka seperti pandemik. Pengintegrasian pembelajaran dalam talian dan penilaian alternatif juga akan lebih menyeluruh dengan harapan ia tidak mengkompromi kualiti graduan yang dihasilkan. Kolaborasi antara universiti juga perlu dipertingkatkan agar kurikulum program yang terhasil adalah kalis masa depan.

Ketiga, sinergi antara penyelidikan dan pengajaran harus diberikan perhatian lebih khusus. Pada ketika universiti mengejar KPI penyelidikan dan penerbitan, pandemik COVID-19 telah menunjukkan betapa penyelesaian kepada kekangan-kekangan proses pembelajaran dan pengajaran tidak dapat dijana dengan efektif. Contohnya, pada ketika ini, universiti masih bergantung kepada aplikasi-aplikasi pembelajaran dari luar negara yang turut menelan kos yang agak tinggi dan tidak bersesuaian dengan konteks dalam negara.

Justeru, penyelidikan berimpak tinggi dari segi pengajaran juga perlu diberikan penekanan terutamanya melalui pendekatan kesarjanaan dalam pengajaran dan pembelajaran. Kajian-kajian spesifik untuk memahami pelbagai faktor sosial turut dapat meningkatkan tahap ekuiti dan kualiti pendidikan untuk golongan pelajar yang berada di kawasan luar bandar. Semua ini mampu dilaksanakan melalui sinergi yang lebih utuh antara penyelidikan dan pengajaran.

Corak hala tuju pendidikan

Ketiga-ketiga impak norma baharu dalam pendidikan tinggi ini bakal mencorak hala tuju pendidikan di Malaysia. Fokus-fokus utama yang telah digariskan dalam pelbagai pelan strategik perlu diteliti kembali agar setiap institusi kekal relevan dan mampu menghadapi situasi-situasi di luar jangkaan.

Di sebalik segala pelan dan strategi yang terpaksa diatur dalam mengharungi arus perubahan yang memaksa institusi pengajian tinggi untuk mencari kaedah dan pendekatan baharu dalam sistem penyampaiannya, satu isu lain yang turut memberikan cabaran besar kepada pengurusan IPT adalalah berkaitan tahap kesiapsagaan dan kesediaan pelajar, ibu bapa, masyarakat malah dalam kalangan segolongan kakitangan akademik sendiri yang masih bersikap konvensional dan skeptikal terhadap perubahan yang sedang dilakukan.

Masih kuat kedengaran tuntutan supaya pembelajaran dijalankan secara bersemuka mengatasi kaedah dalam talian kerana ia dianggap lebih berkesan. Rasa tidak puas hati pelajar terhadap pembelajaran dalam talian seperti yang turut berlaku di negara maju seperti Amerika Syarikat, akan terus menyulitkan segala usaha yang terpaksa dilakukan ini.

Terima perubahan

Namun, suka atau tidak, apa yang sedang berlaku pada waktu ini seharusnya dijadikan iktibar oleh semua pihak bahawa setiap kejadian yang melanda menuntut perubahan dan ia tidak seharusnya lagi bersandarkan kepada kecenderungan atau keinginan sendiri.

Situasi semasa di era yang serba serbi mencabar ini menuntut semua pihak supaya sentiasa bersikap terbuka, positif dan bersedia mengadaptasikan segala cabaran seiring dengan situasai semasa yang memerlukan tindakan dan strategi baharu mengatasi pendirian individu.

Biarpun COVID-19 mungkin hilang dari pandangan pada masa akan datang, impaknya ke atas pendidikan tinggi tetap akan dirasai. Namun, institusi pendidikan tinggi, melalui segala perubahan yang bakal dilaksanakan tidak harus menggadaikan akar yang ditunjangi visi dan misi institusi kerana akar tunjang inilah yang bakal melawan badai yang seterusnya.

--BERNAMA

Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)