‘Malaysia Prihatin’ adalah tema yang dipilih bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini.
Pemilihan tema ini melambangkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Malaysia Prihatin turut mencerminkan usaha semua pihak, baik kerajaan, sektor swasta, sukarelawan dan juga rakyat secara perseorangan yang berganding bahu umpama aur dengan tebing dalam menangani penyebaran wabak pandemik Coronavirus (COVID-19).
Prihatin Sejarah
Sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia ini melibatkan dua sambutan utama ialtu Hari Kebangsaan bagi menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-63 pada 31 Ogos dan sambutan ulang tahun pembentukkan Malaysia pada 16 September yang mengabungkan Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah.
Lebih bermakna pada tahun ini, sambutan 50 tahun Rukun Negara turut diraikan.
Malaysia Prihatin ini wajar diperluaskan maknanya terhadap keprihatinan semua warga Malaysia terhadap sejarah tanah air. Memahami, menghayati dan menghormati sejarah akan mengerat lagi hubungan dan mencegah konflik antara kaum.
Generasi muda hari ini banyak memperkatakan isu-isu semasa di media sosial tanpa memahami akar umbi sesuatu isu umpama celik ranting buta akar apabila memperkatakan sesuatu perkara yang telah dipersetujui secara bersama.
Tak kenal maka tak cinta. Tanpa mengetahui dan memahami sejarah akan timbul keadaan tidak puas hati di dalam masyarakat majmuk dan meruntuhkan jambatan perpaduan yang telah dibina oleh generasi terdahulu.
Kemakmuran Bersama
Antara cita-cita yang terkandung dalam aspirasi Rukun Negara adalah adalah untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat, untuk memelihara satu cara hidup yang demokratik.
Seterusnya untuk mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dinikmati bersama secara adil dan saksama, untuk menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak dan yang terakhir adalah untuk membina satu masyarakat yang progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
Keprihatinan semua warga Malaysia terhadap aspirasi dan lima prinsip Rukun Negara akan memberi natijah yang positif kepada masyarakat majmuk di negara ini.
Rukun Negara bukan sekadar dilafazkan di hujung bibir dengan penuh bersemangat sebaliknya wajar dihayati dan diterjemahkan melalui perbuatan dan tindakan. Semoga aspirasi membina masyarakat majmuk progresif dapat menjadi realiti.
Merai Kebebasan
Serangan wabak COVID-19 yang bermula pada Feb 2020 di negara ini telah memberi kesan kepada pelbagai aspek kehidupan termasuk sosio-ekonomi individu dan negara. Ini merupakan satu bentuk ancaman yang baharu terhadap negara dan dunia.
Pihak kerajaan telah melakukan banyak usaha dan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membebaskan negara daripada ancaman wabak ini. Sehingga kini, usaha tersebut telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan.
Kebebasan mutlak daripada ancaman wabak pendemik ini memerlukan usaha semua pihak. Tanpa kerjasama dan keprihatinan rakyat bagi mematuhi segala arahan dan saranan daripada pihak kerajaan akan menyukarkan usaha ini.
Tarikh 31 Ogos bukan sahaja tarikh keramat untuk merai kemerdekaan negara daripada belenggu penjajah. Tarikh yang sama juga pada tahun ini adalah tempoh berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (Pemulihan).
Adakah kita akan terus melalui kehidupan seharian dengan arahan kawalan pergerakkan yang sedia ada? Jawapannya terletak atas keprihatinan kita untuk bersama-sama membantu kerajaan dalam usaha membebaskan negara daripada pandemik COVID-19.
-- BERNAMA
Fairus Muhamad Darus merupakan Koordinator Kepimpinan, Institut Kepimpinan Pelajar (IKP) dan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan UiTM, Shah Alam