TINTA MINDA

‘RAHMAH UNTUK SEMUA’

05/10/2020 11:02 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Dr Mansor Abu Talib

(Bersempena Bulan Kaunseling Kebangsaan sepanjang Oktober)

Oktober kembali lagi, namun kali ini dengan situasi yang berbeza akibat kesan pandemik COVID-19 yang sedang dihadapi oleh negara dan dunia. Bulan Oktober telah dikenal pasti sebagai Bulan Kaunseling Kebangsaan yang telah diisytiharkan pada 8 Mac 2016 oleh Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada ketika itu semasa merasmikan majlis penutupan Seminar Kaunseling Kebangsaan Kali ke-15 'Intervensi Kaunseling Kesihatan Mental' anjuran Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA) International.

Bulan Oktober dipilih berdasarkan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 10 Oktober setiap tahun. Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2020 telah memasuki tahun kelima yang bertujuan mendekatkan lagi perkhidmatan kaunseling dan kaunselor kepada ahli masyarakat sebagai advokasi terhadap peri pentingnya mendapatkan khidmat profesional sama ada melalui runding cara atau penglibatan dalam pelbagai aktiviti psikopendidikan yang dianjurkan oleh pengamal kaunseling, agensi berkaitan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Ia adalah bulan ‘turun padang’ oleh kaunselor untuk bertemu kumpulan sasaran tertumpu yang terpilih melalui pelbagai aktiviti bertema untuk mengangkat kualiti kesejahteraan hidup masyarakat. Namun pada tahun ini, kaedah diubah suai bagi memenuhi keperluan SOP oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Rahmah sebagai cerminan diri

‘Rahmah Untuk Semua’ telah dipilih oleh PERKAMA International sebagai tema pada tahun ini. Rahmah memberi konotasi ‘kebaikan’ yang boleh ditafsir dari pelbagai aspek. Rahmah dari sudut individu atau sebagai rakyat Malaysia merujuk kepada trait atau sifat diri seperti mesra, bertimbang rasa, mengambil berat dan prihatin yang boleh digambarkan melalui sikap dan perilaku seharian. Pemilihan ‘rahmah’ juga bersesuaian dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 iaitu ‘Malaysia Prihatin’ yang mengajak segenap lapisan rakyat untuk saling menghormati diri dan individu lain. Menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tema tersebut menunjukkan inisiatif kerajaan merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan rakyat serta mengukuhkan kembali asas-asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Rahmah kepada diri dan orang lain mencerminkan keperibadian diri dan fitrah semula jadi manusia yang menolak teori bahawa untuk berjaya hanya memerlukan kekuatan fizikal dan kebendaan dan perlukan sifat mementingkan diri sendiri sahaja. Kajian tentang kesejahteraan hidup juga telah menyimpulkan bahawa mengambil peduli dan membuat kebaikan kepada orang lain sama ada melalui perkongsian rezeki, nasihat atau sumbangan dalam bentuk sumber sokongan sosial mampu membawa kesejahteraan berpanjangan kepada pemberi dan penerima.

Rakyat yang prihatin akan merasa bertanggungjawab membantu mereka yang memerlukan pertolongan. Rahmah akan membolehkan kita merasai kegetiran hidup orang lain lantas melibatkan diri dalam usaha membantu menurut kapasiti masing-masing termasuklah sokongan psikologi yang menjadi fokus PERKAMA. Rahmah mengurangkan sifat buruk sangka dan mampu menangani konflik terhadap pihak lain. Namun, kebaikan kepada diri sendiri juga adalah mustahak bagi membolehkan kita mengambil berat dan keprihatinan kepada masyarakat sekeliling.

Program Bulan Kaunseling bentuk peribadi berhemah

PERKAMA International sebagai badan perintis yang mengasaskan sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan telah merancang untuk melaksanakan pelbagai aktiviti bagi ‘merakyatkan kaunseling dalam komuniti’.

PERKAMA berkolaborasi dengan lebih 20 afiliasi yang terdiri daripada kaunselor di institusi seperti universiti, JPA, MARA, AADK dan KKM serta bersama NGO lain seperti Persatuan Kaunselor Pendidikan Malaysia (PEKA), Persatuan Kaunseling Syarie Malaysia (PAKSI), Persatuan Profesion Psikologi Kementerian Kesihatan Malaysia (PsiKEM), Persatuan Kaunselor MARA (PEKAMARA), Persatuan Kaunseling Selangor (Talian Sahabat), Persatuan Perkhidmatan Kaunseling, Pelajaran Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Counselling Association (KLCA) dan Gabungan Guru Bimbingan Kebangsaan (GGBK)


Pelbagai program yang menyasarkan komuniti tertentu telah dirancang secara kolaboratif dengan badan afiliasi sama ada yang bersifat tempatan seperti webinar Pengurusan Tekanan di Tempat Kerja (PsiKEM), webinar Konferens Kes Intervensi Kaunseling (IIUM), Simposium Pemerkasaan Kaunselor Negeri, Persidangan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan PERKAMA@Komuniti (UPM) serta Webinar Young Counselling Scholar (YCS) dengan pelbagai tema yang diselaraskan oleh UPSI.

Program komuniti kaunselor serantau melibatkan webinar Forum Kaunseling Serantau bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang berkolaborasi dengan NGO kaunseling dari Brunei, Indonesia dan Singapura. Manakala peringkat antarabangsa melibatkan lintas langsung bersama tokoh kaunseling dari USA serta webinar International Forum on Mental Health bersama International Association of Counselling (IAC), Malta Association of Counselling (MAC) dan Taipei Association of Counselling (TAC) serta UNIMAS sebagai hos. Semua program akan melibatkan pematuhan SOP seperti yang disarankan oleh KKM bagi bersama mengekang penularan COVID-19.

Penganjuran Bulan Kaunseling Kebangsaan dengan tema ‘Rahmah Untuk Semua’ membawa mesej penting bahawa setiap diri individu tanpa mengira latar belakang demografi dan konteks peribadi perlu didekati secara berhemah bagi mengecapi kehidupan yang sejahtera. Rakyat yang prihatin serta kerajaan yang berwawasan saling perlu-memerlukan bagi mencapai kemakmuran bersama. Keterlibatan pelbagai NGO memerlukan sokongan padu agar usaha kebaikan dapat sampai kepada komuniti terfokus secara inklusif dan pendayaupayaan diri setiap rakyat khususnya dari aspek psikologi dapat dipertingkatkan.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti sepanjang program Bulan Kaunseling Kebangsaan 2020 anjuran PERKAMA International boleh didapati di Facebook dan Instagram PERKAMA International serta www.perkamainternational.com.my

--BERNAMA

Prof Dr Mansor Abu Talib ialah Timbalan Presiden PERKAMA International dan merupakan Profesor Kaunseling di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)