Oleh: Prof Madya Ts Dr. Jessica Ong Hai Liaw dan Abdul Hamid Moiden
Etnik dan budaya tidak dapat dipisahkan. Setiap etnik memiliki identiti budaya tersendiri yang melahirkan sejarah bangsa, sikap dan tingkah laku masyarakat. Sikap saling menerima dan memahami akan membentuk kekuatan dalaman kepelbagaian etnik dan budaya. Sikap ini jika diadun dan dibangunkan secara kumulatif akan menjadi sumber kekuatan dan keutuhan sosial negara. Ini kerana keharmonian masyarakat adalah kekuatan utama sesebuah negara. Seharusnya masyarakat Malaysia bersatu hati dalam kepelbagaian agama, budaya dan adat masyarakat.
Komunikasi merupakan satu proses manusia menghantar dan menerima mesej melalui perkongsian pendapat, informasi atau perasaan melalui pertuturan, gerak isyarat atau simbol. Komunikasi juga dapat disimpulkan sebagai pemberian makna kepada perilaku iaitu apa yang diperhatikan. Budaya akan membentuk perilaku seseorang yang akhir nya “terbawa” ke dalam proses komunikasi. Komunikasi bersifat dinamik dan terus berlangsung dan selalu berubah-ubah mengikut situasi. Komunikasi adalah interaktif antara sumber dengan penerima. Dalam proses komunikasi, sumber dan penerima membawa latar belakang dan pengalaman masing-masing. Salah satu pihak akan cuba mempengaruhi pihak yang lain.
Budaya
Istilah budaya berasal daripada bahasa Latin ‘colere’ yang bermaksud kehidupan manusia yang sentiasa memelihara dan melakukan pelbagai tindakan (Suwardi Endraswara, 2006). Tindakan ini akhirnya menghasilkan budaya. Dalam bahasa Inggeris pula, budaya dikenali sebagai ‘culture’. Budaya meliputi pengetahuan, pengalaman, kepercayaan, nilai, sikap, agama, waktu, peranan, hubungan yang diperolehi oleh sekelompok besar orang dari generasi ke generasi melalui usaha individu dan kelompok. Budaya terdiri daripada budaya objektif dan subjektif.
Budaya objektif dipengaruhi oleh faktor luaran seperti pengajaran, rupa fizikal, dan budi bicara sekelompok masyarakat. Budaya subjektif ialah budaya luaran yang jelas dan mudah dikenal pasti. Budaya ini merangkumi nilai, idealisme, perasaan dan sensitiviti kelompok masyarakat. Budaya subjektif bersifat dalaman yang dipengaruhi oleh faktor batin seseorang.
Komunikasi silang budaya
Komunikasi silang budaya merupakan komunikasi yang melibatkan individu daripada latar budaya yang pelbagai seperti bangsa, ras, etnik, jantina, bahasa, agama, tahap pendidikan dan status sosial. Kemahiran komunikasi silang budaya akan membawa kepada pemahaman mengenai budaya kaum lain dan memaparkan dinamika pelbagai budaya yang akan mempermudah kita bergaul antara satu sama lain. Menurut Ganter (1977), sikap menghormati kepelbagaian budaya di dalam kelas ketika pembelajaran adalah penting kerana pelajar bertindak dengan lebih baik apabila dilayan dengan penuh bermaruah dan hormat.
Kami merasakan pentingnya toleransi dalam pergaulan harian kita dan mengurangkan buruk sangka dengan mengenali sesuatu kaum bukannya dengan salah konsep dan kejutan budaya. Pengetahuan berkaitan komunikasi silang budaya ini penting bukan sahaja untuk mewujudkan toleransi dan penerimaan, ia juga diyakini dapat mempererat hubungan etnik dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Pengetahuan tentang komunikasi silang budaya banyak membantu dalam mencapai matlamat khususnya dalam konteks komunikasi perniagaan yang merentasi komunikasi silang budaya. Kebolehan dan kemampuan berinteraksi dalam konteks silang budaya merupakan suatu kelebihan dan menjadikan seseorang itu istimewa dan boleh bekerja walaupun dalam kelompok budaya bangsa lain.
Menurut Bhawuk dan Brislin (1992), untuk menjadi efektif terhadap sesuatu budaya lain seseorang individu harus berminat terhadap budaya tersebut. Individu tersebut haruslah mengenal pasti perbezaan budaya antara kelompok masyarakat dan sanggup mengubah tingkah lakunya sebagai indikator penghormatan kepada individu lain yang mewakili pelbagai budaya yang berbeza. Arwah Yasmin Ahmad sebagai seorang pengarah filem berjaya mengenali budaya pelbagai masyarakat dengan mendalam. Filem-filem yang dihasilkan oleh arwah Yasmin seperti Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan Talentime yang mempunyai niila-nilai silang budaya yang sangat unik. Sehingga kini, mengingati iklan-iklan yang dihasilkan oleh Arwah Yasmin yang menyentuh emosi dan penuh dengan pengajaran masih lagi melekat di hati kita. Tamsilnya, iklan-iklan bertemakan kemerdekaan di kaca televisyen kemas plotnya, padat dengan maksud tersurat dan tersirat dan kerap kali menyentuh perasaan dan jiwa para penonton. Iklan-iklan Petronas seperti One Little Indian Boy, Tan Hong Ming, Local Hero, Letchumi & Rokiah, Param’s Bicycle dan banyak lagi sehingga ke hari ini meniti bibir rakyat Malaysia. Jiwa dan pemikiran Yasmin sarat dengan elemen silang budaya. Karya-karya di layar lebar adalah mesejnya untuk rakyat Malaysia. Inti pati mesej dalam karyanya perlu diteroka melalui pelbagai kajian ilmiah.
Pendidikan
Pendidikan komunikasi silang budaya perlu diterapkan dalam sistem pendidikan kebangsaan di peringkat sekolah rendah dan menengah. Pemahaman konsep silang budaya mematangkan penerima kita terhadap perbezaan budaya serta membina melahirkan pola komunikasi yang positif tanpa wasangka dan prasangka. Jika komunikasi silang budaya dapat berjalan dengan lancar, ia akan menjadi jambatan dan ikatan yang dapat menyatukan kelompok masyarakat berlainan etnik dan budaya.
Selain itu, pemahaman yang sempurna dan mendalam konsep-konsep asas serta pantang larang dalam komunikasi silang budaya pasti menjadi tonik yang menyatukan hati-hati rakyat berbilang bangsa di negara kita. Biarlah pendidikan silang budaya menyilangkan hati-hati kita dengan perasaan kasih sayang, muhibah dan bersatu padu selamanya.
-- BERNAMA
Prof Madya Ts Dr. Jessica Ong Hai Liaw adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pascasiswazah di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Abdul Hamid Moiden merupakan pelajar Doktor Falsafah (Pendidikan) di Pusat Bahasa, UPNM.