Laporan prestasi ekonomi negara pada suku ketiga pada 2020 yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada Jumaat lepas tidaklah memberikan sebarang kejutan kepada banyak pihak. Seperti yang dijangka, fasa pemulihan ekonomi negara telahpun membuahkan hasil melalui pembukaan semula semua sektor ekonomi dan pemansuhan halangan pergerakan pada Mei 2020 yang tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP).
Jika dibandingkan dengan pertumbuhan ekonomi pada suku kedua 2020 iaitu -17.1%, fasa pemulihan ekonomi negara sudahpun bermula pada suku ketiga dengan mencatatkan kadar pertumbuhan negatif yang semakin mengecil iaitu -2.7%.
Prestasi pemulihan ekonomi negara adalah jauh lebih baik berbanding dengan negara-negara lain, misalnya Indonesia (-3.5%), Singapura (-7%), Filipina (-11.5%), Eropah (-4.3%), dan Great Britain (-9.6%). Hanya dua negara sahaja yang mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi yang positif dalam suku ketiga tahun 2020 iaitu China (4.9%), dan Chinese Taipei (3.3%).
Faktor utama yang telah menyokong fasa pemulihan ekonomi negara ialah pengukuhan permintaan luar negara (melalui peningkatan eksport sektor elektrik dan elektronik), pemansuhan halangan pergerakan, pakej rangsangan fiskal yang telah dilaksanakan, di samping dokongan dasar monetari yang bersifat akomodatif yang menjadi pelengkap kepada inisiatif sedia ada.
Nampak hasil
Pakej rangsangan fiskal yang dilakukan sebelum ini juga menampakkan hasil dengan peningkatan aktiviti perniagaan, dan peningkatan perbelanjaan penggunaan. Perbelanjaan penggunaan dalam medium kad debit dan pembelian secara atas talian juga telah meningkat dengan ketara yang telah menggerakkan aktiviti ekonomi.
Beberapa petunjuk kegiatan ekonomi seperti Indeks Pembelian Pengurus, Indeks Pengeluaran Industri dalam sektor perindustrian dan pembinaan, jualan kenderaan penumpang dan perbelanjaan kad kredit juga telah menunjukkan momentum yang amat memberangsangkan yang menyokong kepada fasa pemulihan ekonomi negara.
Sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, ekonomi Malaysia juga terdedah kepada persekitaran antarabangsa. Maka, pertumbuhan ekonomi global secara tak langsung juga mempengaruhi ekonomi negara melalui perkembangan kegiatan eksport, dan aliran masuk modal asing melalui pelaburan langsung dan pelaburan portfolio.
Bagaimanapun, gelombang ketiga pandemik COVID-19 berpotensi untuk memberikan risiko dan cabaran kepada usaha pemulihan ekonomi negara pada suku keempat 2020 nanti. Walaupun aktiviti ekonomi masih berjalan, keterbatasan aktiviti sosial dalam tempoh PKPB di kebanyakan negeri di samping prosedur operasi standard dalam sektor perniagaan, sudah tentulah memberikan kesan kepada ekonomi negara kerana belum beroperasi pada tahap yang optimum.
Mengikut jangkaan, pada 2020 ekonomi negara akan mencatatkan kadar pertumbuhan negatif sebanyak 4.5%, tetapi berkemungkinan boleh melebihi daripada kadar tersebut memandangkan gelombang ketiga COVID-19 telah memperlahankan kembali kegiatan ekonomi dan sosial.
Pada 2021, ekonomi negara diramalkan pulih sepenuhnya daripada kemelesetan dengan laluan pertumbuhan berbentuk V, yang mana kadar pertumbuhan dianggarkan dalam julat 6.5 % hingga 7.5%. Hal ini seiring dengan ramalan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Prospek pertumbuhan ekonomi yang positif pada tahun hadapan disebabkan unjuran pertumbuhan ekonomi global dan perdagangan antarabangsa amat memberangsangkan, belanjawan mengembang 2021 yang besar, dan dasar monetari yang bersifat accomodative melalui pengurangan 125 mata asas Kadar Dasar Semalaman di sepanjang 2020.
Kejayaan untuk ekonomi pulih sepenuhnya amat bergantung kepada keadaan pandemik COVID-19 pada tahun hadapan. Jika penularan COVID-19 berjaya dikekang sepenuhnya, di samping penemuan vaksin pencegah, maka ekonomi akan berada dalam landasan yang baik untuk pulih sepenuhnya pada tahun hadapan.
Tangani isu
Namun, terdapat beberapa isu yang perlu diberikan perhatian oleh penggubal dasar. Pertama, jumlah pengangguran yang secara relatif masih tinggi, walaupun berlaku sedikit pengurangan dalam kadar pengangguran daripada 5% kepada 4.6%. Sektor kerajaan dan swasta perlulah memikul tanggungjawab ini untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada warganegara, di samping inisiatif individu yang perlu berfikiran lebih terbuka dan ke hadapan dalam menjadi pencipta pekerjaan, dan bukannya pencari kerja semata-mata.
Kedua, kadar inflasi yang masih negatif juga tidak baik untuk perkembangan sektor perniagaan dan memberikan kesan kepada usaha memperkasakan ekonomi pada masa hadapan. Ketiga, isu beban hutang isi rumah yang semakin meningkat juga boleh menggugat kestabilan dan daya tahan sistem kewangan negara pada masa hadapan, dan risiko meningkatkan kebankrapan di kalangan isi-rumah. Keempat, keadaan pasaran ekuiti yang masih kurang memberangsangkan telah menyebabkan ramai pelabur mengalami kerugian modal.
Kelima, cabaran kepada negara selepas COVID-19 berakhir daripada aspek isu jaminan makanan, kemampuan memiliki rumah kediaman, peningkatan kos sara hidup, ketidakseimbangan wilayah, dan kurang fokus kepada matlamat pembangunan lestari (SDG). Semua isu ini perlulah ditangani khususnya dalam fasa terakhir Strategi 6R iaitu Reform yang akan diumumkan oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 pada tahun hadapan.
Keberkesanan usaha pemulihan ekonomi negara juga amat bergantung kepada sinergi kerjasama antara pengguna, sektor perniagaan, dan pihak kerajaan. Sektor pengguna dan permiagaan perlulah mengoptimumkan segala bantuan yang diberikan oleh kerajaan, di samping mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.
Pihak kerajaan perlu lebih cekap dan tersusun dalam melaksanakan gerak kerja untuk membantu golongan yang terjejas, baik sektor isi rumah atau perniagaan. Hal ini selaras dengan pepatah melayu ‘bagai aur dengan tebing’ yang menyerlahkan hubungan yang akrab dan sentiasa tolong menolong dan toleransi antara semua pihak untuk kepentingan negara.
-- BERNAMA
Profesor Madya Dr. Zulkefly Abdul Karim ialah Timbalan Pengarah Pusat IDEA-UKM Universiti Kebangsaan Malaysia.