Oleh : Amanda Yeo
Walaupun pandemik COVID-19 memberi banyak peluang kepada syarikat Malaysia untuk merealisasikan agenda digitalisasi, belia Malaysia terus menjadi salah satu golongan yang paling rentan dalam mencari pekerjaan yang lebih baik dan menyuarakan kebimbangan mereka dalam pandemik ini.
Menurut Kajian Persepsi Risiko Dunia 2020 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), "kekecewaan belia" merupakan satu risiko tertinggi yang berupaya menjadi ancaman kritikal di seluruh dunia dalam dua tahun mendatang.
Justeru itu, terdapat kebimbangan perang pandemik yang kelihatan tiada kesudahannya, keadaan ekonomi yang semakin buruk, sistem pendidikan yang ketinggalan zaman, krisis iklim yang semakin mencengkam dan juga keganasan rumah tangga akhirnya akan menyebabkan lebih ramai belia Malaysia tidak terdorong untuk mencapai aspirasi kehidupan mereka dan mengakibatkan mereka terdedah dengan penyakit mental.
Rintangan siswazah dan pasaran kerja
Larangan perjalanan dan peraturan kawalan pergerakan yang berterusan telah menyebabkan pelajar universiti sekarang tidak dapat menikmati kehidupan kampus seperti generasi terdahulu. Mereka hanya dapat mengambil bahagian dalam pembelajaran secara talian di rumah.
Lonjakan kes COVID-19 yang berterusan dan gelombang kedua pemberhentian kerja di Malaysia juga menimbulkan masa depan yang agak suram dalam kalangan bakal graduan dan siswazah baru. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjangkakan sebanyak 25 peratus atau 75,000 bakal siswazah akan menghadapi kegenjotan (rintangan) peluang pekerjaan, enam bulan selepas mereka menamatkan pengajian.
Oleh kerana lebih banyak peruntukan kewangan diperlukan untuk melatih pekerja baru yang tiada pengalaman bekerja, majikan pada umumnya, tidak terdorong mengambil graduan baru, terutamanya dalam iklim semasa yang tidak menentu ini.
Peranan belia juga sering diabaikan dalam bidang dasar awam Malaysia kerana ramai ahli politik dan penjawat awam tidak menganggap begitu penting untuk melibatkan golongan belia dalam proses penyusunan dasar.
Oleh sebab itulah, masalah struktur dalam pasaran kerja Malaysia terus diabaikan. Apatah lagi, pasaran kerja di Malaysia yang rata-rata terdiri daripada separuh mahir dan berkemahiran rendah akan menimbulkan masalah besar kepada bakal graduan universiti dan graduan baru untuk mendapatkan perkejaan, lebih-lebih lagi dalam suasana krisis kesihatan ini.
Lantaran itu, mereka mungkin terpaksa menerima pekerjaan yang bergaji rendah dan berjangka pendek untuk sementara waktu ini bagi mengatasi kenaikan kos sara hidup yang berterusan.
Media sosial medium luah kekecewaan
Menurut Statistik Guna Tenaga Suku Tahun Ketiga 2020 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak 62.3 peratus adalah pekerjaan separuh mahir sementara 13.3 peratus adalah pekerjaan berkemahiran rendah.
Dengan kekecewaan yang berterusan sebagai reaksi terhadap dasar berubah-ubah oleh pentadbiran semasa, semakin banyak belia Malaysia hilang sabar dan meluahkan kemarahan melalui saluran media sosial.
Juga, ramai belia Malaysia telah mula putus harapan mengenai kemajuan negara akibat kemelut politik yang berlaku sekarang.
Ini satu petanda yang tidak baik untuk Malaysia kerana kekecewaan belia yang berterusan akan mencabar institusi nasional yang rapuh atau bahkan boleh mengakibatkan ketidakstabilan sistem politik dan ekonomi sama sekali.
Memandangkan interaksi sosial yang semakin berkurangan antara para pelajar universiti dan bakal graduan akibat krisis kesihatan kini, kesunyian berpanjangan mungkin akan mengakibatkan kadar kemurungan dan kebimbangan yang lebih tinggi. Tahap harga diri dalam kalangan graduan baru juga mungkin akan berada pada paras terendah jika mereka masih bergelut dengan masalah mencari pekerjaan semasa pandemik ini.
Cadangan tangani kekecewaan belia
Walaupun Belanjawan 2021 memperuntukkan Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja), MySTEP (Permohonan Kerja Jangka Pendek), perantis industri dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) yang akan memberi peluang kepada ribuan belia Malaysia untuk mencari pekerjaan atau menaiktaraf dengan kemahiran yang berkaitan, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang dilancarkan baru-baru ini tidak mengambil kira sepenuhnya kesan ekonomi yang sangat negatif berikutan pelaksanaan fasa ke-2 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Memandangkan masa depan Malaysia terletak di bahu belianya, sekarang adalah masa untuk kita tidak lagi mengabaikan golongan belia yang rentan. Untuk menangani kekecewaan belia di Malaysia dengan sepenuhnya, EMIR Research mempunyai beberapa cadangan dasar untuk dipertimbangkan:
Dengan mementingkan suara belia dalam proses penyusunan dasar, Malaysia dapat memenuhi keperluan belia secara berkesan dan meminimumkan risiko generasi yang hilang dalam dunia pasca pandemik.
-- BERNAMA
Amanda Yeo merupakan Penganalisis Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.