Program sangkutan industri dalam kalangan pensyarah institut pengajian tinggi (IPT) dikenal pasti sebagai satu kaedah pembangunan profesional yang berkesan terutama dalam bidang kejuruteraan, teknikal dan vokasional (TVET). Cara ini membolehkan pensyarah melalui latihan praktikal sebenar di lapangan, dan secara tidak langsung dapat meningkatkan pengetahuan mereka khususnya dalam aspek cara kerja dan teknologi terkini yang diguna pakai dalam industri. Menerusi penulisan artikel ini penulis akan memfokuskan kepada sangkutan industri dalam kalangan pensyarah IPT dalam bidang kejuruteraan awam serta perkongsian pengalaman ketika mengikuti sangkutan industri.
Penambahbaikan dalam kalangan pensyarah, seiring keperluan industri
Tugas seorang pensyarah bukan sekadar menyampaikan kuliah sebaliknya mereka perlu sentiasa melakukan penambahbaikan kursus dan silibus yang melibatkan pembangunan, penyemakan dan penilaian semula kursus serta modul yang ditawarkan dalam sesuatu program pengajian. Ini kerana dalam bidang kejuruteraan dan juga bidang-bidang lain, teknologi yang digunakan sentiasa berubah mengikut perkembangan dan permintaan industri. Oleh itu, pensyarah perlu sentiasa mencari peluang untuk memperkasakan diri dari segi pengetahuan, selari dengan keperluan industri.
Sebagai IPT yang melahirkan graduan jurutera, setiap pensyarahnya perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan terkini dari segi teori, amali, cara kerja dan juga aplikasi teknologi bagi melahirkan graduan yang memenuhi kehendak industri. Memandangkan cara kerja dan aplikasi teknologi dalam industri sentiasa berubah dari semasa ke semasa, maka IPT sebagai penyedia modal insan perlu berkerjasama rapat dengan pemain industri agar setiap individu yang dilatih memenuhi keperluan semasa industri.
Semasa menjalani sangkutan industri, setiap pensyarah perlu mengambil masa setahun berada dalam industri sama ada sektor awam atau swasta bertujuan memperolehi ilmu pengetahuan dan kemahiran praktikal.
Kebaikan sangkutan industri
Berikut antara kebaikan sangkutan industri yang boleh diperolehi oleh IPT, pensyarah dan pelajar atau graduan:
Justeru itu, kecekalan dan kesungguhan pensyarah dalam memperbaiki pencapaian diri dan kualiti penyampaian kuliah mereka adalah kunci kepada kecemerlangan graduan. Selain itu, kerjasama yang baik antara IPT dan industri menjamin pembangunan kurikulum, penilaian pelajar yang berterusan, dan persediaan graduan untuk menempuh alam pekerjaan. Penguasaan pensyarah terhadap teknologi terkini dan amalan baik dalam industri perlu diberikan perhatian agar pengisian pembelajaran dan pengajaran dapat diperkukuhkan.
Namun, walaupun diketahui kepentingan dan kebaikan program sangkutan insdutri ini, hanya peratusan kecil pensyarah yang bersedia mengikutinya. Pihak IPT tidak mewajibkan sangkutan industri kepada pensyarah sebagaimana pelajar diwajibkan mengikuti latihan industri. Sebaliknya, IPT hanya menggalakkan pensyarah mengikuti program berkenaan bagi mendapatkan kelayakan Jurutera Profesional. Pada pendapat penulis, melihat kepada kebaikan dan apa yang dapat diperolehi daripada proses ini, IPT boleh mewajibkan sangkutan industri ini kepada semua pensyarah mengikut giliran, terutama dalam bidang kejuruteraan dan TVET yang lain.
-- BERNAMA
Profesor Dr. Noridah Mohamad merupakan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)