Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli
Masyarakat Melayu kaya dengan pelbagai tradisi yang berasaskan ajaran Islam. Di antaranya adalah tradisi ziarah menziarahi ketika sambutan Aidilfitri dan Aidiladha. Tradisi yang berakar kuat dalam masyarakat Melayu ini diinspirasikan daripada anjuran Sunnah Nabi SAW.
Bagi masyarakat Islam, sambutan Aidilfitri adalah kemuncak kepada berpuasa sebulan di bulan Ramadhan. Ia diraikan dengan penuh kemeriahan. Ia diwarnai dengan solat aidilfitri beramai-ramai, kemudiannya, menziarahi pusara insan tersayang, diikuti ziarah menziarahi sanak saudara dan rakan taulan, di samping saling bermaafan antara satu sama lain.
Pada dasarnya tujuan aktiviti kunjung mengunjungi ini adalah untuk bertanya khabar dan merapatkan hubungan silaturrahim dan kekeluargaan, di samping untuk mengelak terputusnya hubungan kekeluargaan, persaudaraan dan persahabatan. Generasi muda masa kini ramai yang tidak mengenali sanak saudara dan hubungan ini biasanya akan terputus selepas kematian ibu bapa. Senario ini bertambah buruk terutama ketika pandemik COVID-19 berlaku yang telah menyebabkan tradisi ini tertangguh selama dua tahun.
Kemuliaan amalan ziarah
Asasnya dalam tradisi ziarah menziarahi ini akan melibatkan dua pihak yang utama, iaitu pihak yang menziarahi yakni tetamu dan pihak yang diziarahi yakni tuan rumah. Dalam hadis Nabi SAW ada menegaskan bahawa orang yang menziarahi orang lain kerana Allah tanpa sebarang kepentingan peribadi akan dicintai oleh Allah SWT. Nabi SAW bersabda: “Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: ke manakah engkau hendak pergi? Lelaki itu menjawab: aku ingin menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat bertanya: Apakah ada kenikmatan yang kamu inginkan darinya?. Lelaki itu menjawab: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah Azza Wa Jalla. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu. (HR Muslim)
Manakala dalam hadis yang lain, Rasululullah SAW mengingatkan kepada orang yang diziarahi atau tuan rumah agar memuliakan dan menghormati tetamunya. Ia dikaitkan dengan keimanan kepada Allah dan hari akhirat. Sabda Nabi SAW: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka muliakanlah tetamunya. Memberi hidangan adalah selama sehari dan semalam. Layanan terhadap tetamu adalah selama tiga hari. Yang lebih daripada itu ialah sedekah. Tidak boleh bagi tetamu itu untuk duduk lama sehingga tuan rumah mengeluarkannya.” (HR al-Bukhari)
Dalam redaksi hadis yang lain, Nabi SAW turut menegaskan perkara yang sama. Sabda Nabi SAW: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamu yang datang menziarahinya serta mengeratkan silaturahim dengan semangat persaudaraan Islam. Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah bercakap dengan perkataan yang baik dan manis didengar ataupun berdiam sahaja dari bercakap perkara yang sia-sia.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis-hadis di atas, Islam sangat menggalakkan budaya ziarah menziarahi antara umat Islam dan ia tidak terhad hanya ketika sambutan perayaan semata-mata. Namun begitu, dalam menjayakan tradisi ini ketika sambutan Aidil fitri, ada beberapa adab yang perlu dijaga sama ada di pihak tetamu mahupun tuan rumah. Adab ini bagi memastikan tradisi yang dilakukan beroleh pahala Sunnah, bukan kebiasaan yang sia-sia dan berdosa.
Patuhi adap menziarah
Sebagai orang yang menziarahi, terdapat beberapa adab sopan sebagai tetamu. Pertama, meminta izin atau memaklumkan kepada tuan rumah sebelum bertandang ke rumahnya. Namun ia bergantung kepada uruf setempat. Ini kerana bagi sesetengah tuan rumah, hari raya ibarat rumah terbuka dan kehadiran tetamu dialu-alukan tanpa sebarang temujanji dan makluman awal.
Tetapi bagi segelintir tuan rumah yang menjaga privasi, temujanji dan makluman awal perlu dibuat sebelum bertandang. Tuan rumah hanya buka pintu ketika waktu tertentu atau hanya ketika jemputan rumah terbuka sahaja. Tetamu digalakkan memberi salam maksimumnya sebanyak tiga kali, namun jika tiada jawapan, tetamu boleh beredar.
Kedua, menghormati tuan rumah dan tidak berkelakuan kurang sopan. Ketiga, memakai pakaian yang sesuai dan sopan agar tidak menyebabkan suasana tidak selesa dalam rumah. Keempat, memilih masa ziarah yang sesuai agar tidak mengganggu waktu makan, waktu rehat, solat dan tidur tuan rumah.
Kelima, berkomunikasi dengan kesantunan budi Melayu agar kedua pihak rasa selasa. Elakkan topik sensitif yang boleh menyebabkan terasa hati, isu hangat politik, rumahtangga orang lain dan topik yang mengaibkan atau menjatuhkan maruah, dan tidak mengumpat atau menceritakan keburukan orang dan fitnah orang lain. Topik-topik ini boleh mengundang dosa kering.
Keenam, menikmati minuman dan juadah makanan yang dihidangkan tanpa banyak karenah. Ketujuh, memanfaatkan masa yang dihabiskan. Berziarahlah dalam tempoh masa tidak terlalu lama hingga menimbulkan ketidakselesaan dan kegelisahan kepada tuan rumah. Kelapan, memantau dan mengawal pergerakan anak yang masih kecil agar tidak ada insiden yang menyebabkan kerosakan harta benda tuan rumah.
Kesembilan, tidak masuk ke kawasan-kawasan privasi bagi tuan rumah seperti dapur atau bilik tidur tanpa kebenaran. Kesepuluh, meminta izin tuan rumah jika ingin menggunakan bilik air atau tandas. Kesebelas, bertemu dengan tuan rumah sebelum pulang dan mengucapkan terima kasih di atas layanan yang diberikan. Tegasnya, adab ini perlu dijaga oleh tetamu bagi mewujudkan suasana yang kondusif dalam tradisi ziarah menziarahi.
Muliakan dan rai tetamu yang bertandang
Di samping itu, sebagai orang yang diziarahi atau tuan rumah, terdapat beberapa adab yang perlu dijaga. Pertama, meraikan tetamu dengan senyuman, ramah dan menjemput tetamu untuk masuk ke dalam rumah. Kedua, meletakkan tetamu pada tempat yang sesuai agar mereka rasa selesa, tidak kekok dan dialu-alukan kehadiran mereka untuk bertandang.
Ketiga, mengelakkan komunikasi yang negatif, menyakitkan hati dan mengundang dosa. Keempat, menjamu tetamu dengan minuman dan juadah yang bersesuaian dengan kemampuan. Dari segi penyediaan kuih muih, biasanya orang Melayu telah menyiapkan pelbagai juadah kuih tradisional, juga kuih moden untuk menyambut tetamu pada hari raya. Di samping itu, makanan perayaan seperti ketupat, lemang, burasak hinggakan lauk pauk seperti rendang turut menjadi senarai hidangan wajib bagi sesetengah tuan rumah.
Kelima, tidak menunjukkan reaksi yang tidak senang dengan kehadiran tetamu. Keenam, tidak memilih bulu dalam melayani tetamu sama ada berdasarkan status sosial, kaya dan miskin, pangkat tinggi dan rendah, dan seumpamanya.
Tegasnya, tetamu membawa berkah dalam kehidupan. Dengan itu, sewajarnya mereka dimuliakan dengan layanan yang baik. Kehadiran tetamu merupakan peluang kepada tuan rumah untuk meraih pahala. Begitu juga dengan tetamu, mereka perlu menjaga adab dengan tuan rumah sebaiknya agar ia meninggalkan kenangan yang baik. Bagi tetamu, amalkan formula “masuklah rumah orang ibarat seorang yang buta dan keluarlah ibarat seorang yang bisu”. Pendek kata, jangan bertamu untuk mengintai keburukan dan keaiban tuan rumah yang kemudiannya dicanangkan kepada pihak lain. Ini bagi memastikan objektif kepada tradisi ziarah menziarahi tercapai agar hubungan persaudaraan dan persahabatan semakin erat, bukan bertambah renggang.
-- BERNAMA
Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.