PENA WANITA

REBUT PELUANG PERKASA MODAL INSAN SEKTOR MARITIM MELALUI BELANJAWAN 2024

03/11/2023 09:22 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Izyan Munirah Mohd Zaideen

Oleh: Dr Izyan Munirah Mohd Zaideen

Malaysia diklasifikasikan sebagai sebuah negara maritim berdasarkan kepada geografinya yang strategik di laluan perdagangan dan pengangkutan antarabangsa. Selain itu, ia didukung oleh kedudukan Malaysia di Selat Melaka yang merupakan koridor perdagangan dunia.

Industri maritim dan kestabilan maritim

Industri maritim mempunyai potensi besar dalam meningkatkan kemajuan serta nadi kepada kemakmuran ekonomi negara. Secara amnya, industri maritim merangkumi beberapa sektor seperti pelabuhan dan perkapalan, pelancongan dan perikanan. Kesemua sektor ini mampu memberikan impak yang positif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia selaras dengan matlamat ke arah mencapai status negara maju.

Kestabilan industri maritim adalah berkait rapat dengan pemerkasaan sumber manusia. Perkembangan teknologi adalah perkara mutlak yang tidak boleh dielakkan. Oleh itu, sektor maritim seharusnya bersedia untuk menyesuaikan diri dan mengambil pelbagai langkah strategik.

Faktor peredaran arus pemodenan dunia telah menagih bakat-bakat baharu yang berkemahiran tinggi dan sentiasa beradaptasi dengan dunia yang cepat berubah. Belum sempat kita membudayakan konsep Revolusi Industri 4.0, kini konsep 5.0 sudah mulai diterapkan di banyak negara.

Revolusi Industri 5.0 adalah konsep yang berkaitan dengan aplikasi perkembangan teknologi terkini untuk menyokong penciptaan sistem pendigitalan dan automasi dalam sesebuah industri, terutamanya daripada segi pengeluaran. Secara khususnya, Revolusi Industri 5.0 cenderung untuk menggabungkan teknologi canggih seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT) dan teknologi robotik dengan kepakaran manusia dalam meningkatkan pembangunan sistem pengeluaran yang lebih cekap, fleksibel dan mampan.

Walau bagaimanapun, masyarakat perlu memandang isu ini ke arah yang lebih positif dan dijadikan satu titik tolak dalam transformasi sosial seiring perkembangan teknologi. Pembangunan bakat dalam sektor maritim perlu segera diperkasakan supaya selari dengan Revolusi Industri 5.0.

Modal insan berkemahiran tinggi amat diperlukan oleh industri terutamanya dalam bidang reka bentuk dan pembangunan sistem perisian serta pengendali program kecerdasan buatan.

Malah, untuk memenuhi keperluan industri 5.0 graduan perlu dipersiapkan menerusi sistem pendidikan tinggi dan latihan yang mencukupi.

Melalui Belanjawan 2024 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejumlah RM6.8 bilion telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi pendidikan program latihan teknikal dan vokasional (TVET). Daripada jumlah itu, sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi menyediakan pensijilan profesional yang diiktiraf industri kepada graduan TVET bermula tahun 2024.

Di samping itu, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) pula akan memanfaatkan dana RM1.6 bilion untuk menyediakan 1.7 juta tawaran latihan dan sebanyak RM20 juta pula dikhaskan untuk manfaat pelatih yang mengikuti bidang maritim, kesenian di ASWARA dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih bagi sektor aeroangkasa

Sehubungan dengan itu, peluang ini perlu direbut dan dimanfaatkan oleh universiti dan penyedia latihan untuk memastikan kesinambungan bakat dalam memenuhi permintaan sektor maritim negara. Latihan dan pembangunan kerjaya amat penting dalam kebolehpasaran graduan dan juga peningkatan tahap kecekapan dan produktiviti termasuk pekerja pada peringkat pertengahan dan profesional.

Pada era globalisasi ini, sektor maritim negara semakin berkembang saban tahun dan permintaan tenaga profesional bagi memenuhi keperluan pasaran tidak pernah berkurang. Program TVET diyakini dapat mengetengahkan gabungan pengetahuan serta kemahiran vokasional dan teknikal bersesuaian dengan keperluan industri semasa dan masa akan datang.

Usaha kerajaan Malaysia dalam Membangun Malaysia Madani ini seharusnya disambut baik oleh agensi dan pemain industri untuk memastikan industri maritim kekal utuh melalui pembangunan profesional serta meningkatkan kapasiti dan kebolehpasaran modal insan dalam sektor ini. Program TVET bakal menjadi ‘nilai tambah’ dalam laluan kerjaya kerana ia meliputi program pemahiran semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) melalui pensijilan profesional.

--BERNAMA

Dr Izyan Munirah Mohd Zaideen adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)