TINTA MINDA

MAHASISWA PERLU BIJAK MENAMBAH KEMAHIRAN DIPERLUKAN MAJIKAN

16/02/2024 10:18 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Noor Mohamad Shakil Hameed

Mendapat peluang pekerjaan dengan kadar gaji yang setimpal mengikut kelayakan dimiliki masih menjadi cabaran besar golongan graduan.

Hakikatnya pada ketika ini ramai yang terpaksa menerima apa saja peluang pekerjaan yang ada demi meneruskan kelangsungan hidup. Antara punca majikan keberatan memberi peluang kepada graduan baharu ialah kerana kekurangan kemahiran tambahan seperti kemahiran insaniah dan profesional yang diperlukan untuk melaksanakan tugas selari dengan tuntutan dan perubahan semasa.

Justeru mahasiswa yang masih berada di universiti perlu cakna dan ambil serius keperluan dan tuntutan majikan supaya dapat melengkapkan diri dengan kemahiran tambahan yang diperlukan.

Majikan perlukan pekerja pelbagai kemahiran

Majikan memerlukan pekerja yang memiliki kemahiran profesional teknikal yang khusus selain mampu berkomunikasi dengan baik, memiliki pemikiran kritis dan berkeupayaan menyelesaikan masalah, boleh kerja berpasukan serta ada kemahiran kepimpinan supaya dapat memenuhi tanggungjawab yang bakal diamanahkan.

Agensi bakat terbesar di dunia, Ranstad dalam laporan prospek pasaran pekerjaan dan trend gaji 2024 di Malaysia menyenaraikan syarikat di negara ini sedang mencari bakat berkemahiran tinggi dalam bidang permainan, keselamatan siber, tenaga boleh diperbaharui dan analisis data.

Selain itu, pekerjaan yang membabitkan penggunaan kecerdasan buatan dan data besar untuk meningkatkan ketepatan akan mendapat permintaan yang tinggi dan peranan baru ini dilaporkan akan menjadi semakin penting.

Jadi mahasiswa perlu memahami potensi seperti ini sekali gus berusaha untuk menambah kemahiran tambahan di samping ijazah yang ada supaya dapat menembusi pasaran kerjaya tersebut bila tamat pelajaran kelak.

Ironinya majikan memerlukan bakat kompeten dan berkemahiran yang memiliki sijil kelayakan profesional dalam bidang-bidang spesifik seperti analisis data kerana proses pembuatan keputusan berdasarkan data semakin dititikberatkan oleh semua organisasi bagi mencapai keputusan yang lebih tepat dan betul.

Kepentingan PADU dalam isu sama

Harus diingat pihak kerajaan juga akan menggunakan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang menjadi pangkalan data utama negara yang selamat dan komprehensif ke arah digitalisasi dan penghasilan analitik yang tepat. Salah satu kepentingan PADU adalah memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial. Ini menjelaskan kepentingan pengumpulan data serta kemahiran yang perlu dimiliki untuk menganalisis data dalam membuat sesuatu keputusan.

Guna kesempatan ada untuk tingkat kemahiran insaniah

Oleh itu mahasiswa perlu bijak menggunakan kesempatan yang ada ketika berada di kampus untuk menimba pelbagai kemahiran insaniah melalui aktiviti kokurikulum serta menambah kemahiran profesional dengan mengikuti kursus tambahan secara sampingan, selain lulus dengan cemerlang dalam bidang pengajian masing-masing.

Aktiviti kokurikulum seperti menganggotai badan beruniform atau kelab dan persatuan boleh menjadi platform terbaik untuk mengasah bakat dan menimba pelbagai kemahiran insaniah yang diperlukan sekali gus melatih dan membentuk karakter yang diperlukan oleh majikan.

Pensijilan profesional juga penting

Manakala untuk mendapatkan pensijilan profesional, mahasiswa perlu mengambil inisiatif mengikuti kursus-kursus tambahan berbentuk kemahiran teknikal spesifik yang ditawarkan sama ada di universiti mahupun oleh organisasi luar. Mahasiswa perlu bijak memilih kursus pensijilan yang relevan dengan keperluan pasaran kerjaya semasa dan akan akan datang dan bukannya pilih mengikut minat kita semata-mata.

Mahasiswa harus sedar bilangan graduan yang semakin bertambah menyebabkan majikan mempunyai banyak pilihan, justeru kita perlu lebih fleksibel dan melengkapkan diri dengan kemahiran khusus dan unik supaya dapat bersaing dengan calon lain.

Dalam konteks ini mengikuti Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) secara sambilan atau sejurus selepas menjadi graduan juga wajar menjadi pilihan utama mahasiswa dan graduan baharu kerana permintaan dalam bidang kemahiran semakin meningkat. Hakikatnya graduan yang tidak mempunyai kemahiran serta literasi digital dalam TVET dilihat tidak akan bertahan lama dalam industri ekoran perkembangan teknologi terutamanya kecerdasan buatan (AI) yang akan mengakibatkan mereka menjadi kurang relevan dalam industri dalam tempoh 10 tahun lagi.

Pada masa sama, pihak universiti juga boleh terus memperkasa inisiatif untuk melahirkan bakat terbaik keperluan industri dan negara dengan menyediakan peluang mencukupi untuk mahasiswa menimba pelbagai kemahiran insaniah dan profesional teknikal ketika berada di kampus.

Misalnya, boleh menawarkan pelbagai program pensijilan profesional terutamanya kepada mahasiswa tahun akhir sama ada secara percuma atau dengan kadar kos yang berpatutan. Ini boleh dilakukan melalui kerjasama strategik dengan institusi latihan profesional lain yang ada kepakaran dalam bidang tertentu.

Tuntasnya, mahasiswa perlu bijak melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran tambahan terkini yang diperlukan industri dan majikan supaya dapat menembusi pasaran kerjaya sekali gus meraih peluang pekerjaan dan menikmati gaji yang bersesuaian dengan kelayakan.

-- BERNAMA

Noor Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)